Harimau jantan yang ditemui berkeliaran di sekitar kawasan Kampung Besul Lama, Bukit Besi Dungun, pada 19 Julai lalu telah mati akibat jangkitan Virus Canine.

KUALA LUMPUR – Harimau jantan yang ditangkap selepas berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun mati awal pagi semalam semasa menerima rawatan.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, harimau yang digelar ‘Awang Besul’ itu mati pada pukul 5.30 pagi dipercayai positif Virus Canine Distemper yang dijalankan melalui ujian RT-PCR.

“Pemantauan rapi di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak pada 19 Julai lalu menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan iaitu nasal discaj.

“Persampelan darah, serum serta swab telah dilakukan dan sampel dihantar ke Institut Veterinar (VRI) Ipoh, Perak pada 21 Julai untuk ujian penuh. Keputusan virologi diterima pada 22 Julai 2019 menunjukkan Awang besul positif Virus Canine Distemper”, katanya dalam satu kenyataan.

Canine Distemper adalah penyakit oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing dan hidupan liar termasuk spesis harimau.

Jika ia terkena pada harimau, haiwan itu akan menunjukkan tingkah laku tidak takut pada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh sangat tipis.

Perhilitan tidak menolak virus ini disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul.

Tambahnya, bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Kampung Besul, Jabatan Perhilitan akan memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau.

Orang ramai diminta menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau lain. – MalaysiaGazette