Hakim mahkamah Juvana di Ohio, Tracie Hunter diheret keluar ke penjara selepas disabitkan kesalahan mendedahkan dokumen sulit kepada abangnya dalam cubaan menyelamatkan kariernya.

AMERIKA SYARIKAT – Seorang hakim wanita yang disabitkan bersalah rasuah telah diheret polis keluar dari mahkamah untuk menjalani hukuman penjara.

Hakim mahkamah juvana itu, Tracie Hunter sepatutnya memulakan hukuman penjara enam bulan sejak Isnin lalu.

Tracie disabit kesalahan kerana membantu abangnnya untuk kekal dalam kerjayanya,

Abangnya adalah bekas kakitangan awam di Hamilton County, Ohio.

Mahkamah yang penuh sesak dengan orang awam semasa perbicaraan bertukar kecoh apabila hakim Patrick Dinkelacker menjatuhkan hukuman penjara terhadap Tracie.

Hukuman itu sepatutnya berjalan pada 2014 tetapi ditangguhkan selepas rayuan dikemukakan wanita itu bagi mencabar hukuman terhadapnya.

Rakaman video dalam bilik perbicaraan menunjukkan penyokong Tracie bergegas membantah keputusan hakim dan tindakan polis itu.

Seorang wanita awam kelihatan memakai baju kemeja- T tertera tulisan keadilan untuk hakim Tracie Hunter digari sementara Tracie diheret keluar dari mahkamah untuk menjalani hukuman.

Kes rasuah melibatkan Tracie mencetuskan ketegangan di Cincinnati selepas abangnya Stephen Hunter yang bertugas dengan kerajaan negeri sebagai pegawai pembangunan belia didakwa menyerang seorang pesalah Juvana pada Julai 2013.

Insiden itu telah mengakibatkan Stephen dipecat.

Pendakwa raya berhujah mengatakan Tracie selaku hakim cuba menyalahgunakan kedudukannya untuk melindungi abang beliau.

Pada 2010, Tracie muncul sebagai warga Afrika Amerika pertama dipilih menjadi Hakim Mahkamah Juvana.

Tracie mendakwa tuduhan ke atasnya adalah bermotifkan politik oleh pihak tertentu.

Datuk Bandar John Cranley menulis surat kepada Hakim Dinkelacker meminta supaya Tracie tidak dimasukkan dalam penjara.

Dakwa Cranley, Tracie telah melalui detik penyeksaan yang melampau sejak menghadapi pertuduhan yang tidak mengancam awam.

Hakim juga menerima poskad yang banyak daripada awam meminta membebaskan Tracie daripada pertuduhan tersebut.

Tracie terus mempertahankan dirinya tidak bersalah sepanjang perbicaraan bagaimanapun barisan juri memutuskan hakim wanita itu menyalahgunakan dokumen rahsia untuk membantu abangnya menyelamatkan kerjayanya.

“Saya tidak menyalahi undang-undang dan tidak mendapatkan sebarang kontrak kerajaan atau sebarang kerja untuk abang saya yang bekerja di mahkamah selama 7 tahun sebelum saya dilantik sebagai hakim.

“Pertuduhan ke atas saya tidak berasas dan perlu digugurkan,” tegasnya.- MalaysiaGazette