Timbalan Pengerusi Otai Reformis 1998, Mustafa Mansor (kanan) bersama setiausahanya, Abdul Razak Ismail (tengah) serta ahli yang lain bergambar sambil malaungkan 'Reformasi' pada sidang media khas mengenai status terkini video seks berkait seorang menteri Kabinet di Restoran Amjal, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Otai Reformis 1998 meminta Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Abdul Hamid Bador lebih peka dan berhati-hati dalam membuat kenyataan berhubung video hubungan sejenis yang dikatakan melibatkan seorang menteri kanan.

Timbalan Pengerusinya, Mustafa Mansor berkata, ini bagi mengelakkan sebarang spekulasi timbul dan berlaku ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat berikutan pelbagai kenyataan sebelum ini agak mengelirukan.

“Kita merujuk beberapa kenyataan media oleh Abdul Hamid berkaitan video intim hubungan seks sejenis seperti pendedahan dan pengakuan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sentubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

“Dalam pengakuan itu Haziq Abdullah mengesahkan beliau adalah pasangan seks kepada seorang pelaku dalam video itu sebagai tulen dan asli tanpa sebarang edit atau kacau ganggu terhadap video berkenaan.

“Dengan pengakuan itu, kita berharap kes ini dapat diselesaikan mengikut prosedur undang-undang seperti yang ditegaskan oleh KPN dan Otai Reformis sangat menghargai kesungguhan pihak polis menyelesaikannya secepet mungkin,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di sini, hari ini.

Menurut Mustafa, rakyat kini tertanya-tanya kenapa kes itu berlarutan agak lama tanpa sebarang penghujung, sedangkan sudah ada pihak mengaku melakukan hubungan sejenis dengan pasangannya yang dipercayai seorang menteri kanan.

Kata beliau, jika pihak polis membiarkan kes berkenaan berlarutan, ia akan menimbulkan kegusaran dan kegelisahan kepada rakyat.

“Haziq Abdullah dan pasangan salah laku seks telah dikenal pasti oleh pakar video, CyberSecurity Malaysia walaupun pengecaman wajah pelaku-pelakunya dilaporkan negatif.

“Seterusnya, Haziq Abdullah juga telah ditahan reman oleh polis untuk siasatan lanjut, tetapi peliknya pasangan intimnya dibiarkan bebas.

“Kita merasa hairan dan kecewa mengapa individu yang disebut-sebut itu tidak dipanggil atau ditahan untuk siasatan oleh polis,” ujarnya.

Beliau berkata, melakukan hubungan seks luar tabii adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksumum 20 tahun dan sebat.

Dalam pada itu, Mustafa mahu KPN membuat kenyataan berdasarkan fakta dan data yang jelas, bukan andaian serta tuduhan semata-mata.

“KPN bukan ahli politik atau orang awam yang sering membuat andaian berdasarkan ‘dengar khabar’ tanpa hasil kajian atau siasatan terperinci.

“Bahkan, kelewatan Abdul Hamid memuktamadkan siasatan kes ini dengan cepat akan memberikan impak negatif ke atas kewibawaan polis,” katanya.

Beliau juga turut meminta seorang menteri kanan dan seorang Menteri Besar segera memberikan kerjasama penuh kepada polis memandangkan kedua mereka dalam kenyataan masing-masing telah beriya mengatakan mereka telah benar-benar mengenal pasti dalang utama dalam isu video intim tersebut.

Mustafa dan barisan Otai Reformis amat berharap kes itu menjadi contoh bagaimana polis dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuktikan komitmen yang tinggi dalam memenuhi makna Malaysia Baharu pasca PRU14 dengan berteraskan dasar kerajaan ke arah Rahmatan Lil Alamin serta teguh berpegang kepada Rule of Law. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.