Jo-Anna Sue Henley Rampas

KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah meluluskan mana-mana lesen perjudian dan sabung ayam di negeri ini.

Justeru, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata gambar yang telah diubah suai oleh pihak tidak bertanggungjawab dan ditular di media sosial yang menyatakan Ketua Menteri Sabah telah meluluskan lesen sabung ayam di Sabah adalah tidak benar

Katanya gambar itu telah diubah suai dengan meletakkan logo Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Parti Warisan Sabah dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Gambar sebenarnya adalah gambar yang telah diambil semasa sidang media oleh Ketua Menteri Sabah selepas merasmikan Bangunan Perpustakaan Negeri Sabah di Tanjung Aru pada Khamis lepas, katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata orang ramai diminta tidak mempercayai serta menularkan perkara yang tidak pasti kesahihannya kerana ini akan mengeruhkan keadaan dan mencemarkan reputasi pentadbiran kerajaan negeri Sabah. – BERNAMA