Dr. Ibrahim bersama kepimpinan ADT Putra dan Perkasa merafak sembah menjunjung kasih atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, esok.
Dr. Ibrahim bersama kepimpinan ADT Putra dan Perkasa merafak sembah menjunjung kasih atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, esok.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) merafak sembah junjung kasih dan setinggi ucapan tahniah atas Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali yang mewakili Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra dan barisan kepimpinan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, baginda adalah raja berjiwa rakyat.

Katanya, baginda yang mewarisi darah daging almarhum ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang terkenal dengan prinsip raja dan rakyat berpisah tiada diibaratkan bagai pepatah melayu, di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

“Bagi memukadimah bicara, patik mewakili pihak Putra dan Perkasa Malaysia mempersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih serta taat setia kepada tuanku sempena pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang penuh beristiadat.

“Putra dan Perkasa penuh yakin negara dan rakyat akan dilimpah keberkatan Allah di bawah naungan sepanjang pemerintahan baginda,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim yang juga Presiden Perkasa, semua rakyat hendaklah wajib taat setia dan berdiri teguh bersama baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Kata beliau, Raja Berperlembagaan adalah salah satu institusi pemerintahan negara bersama demokrasi berparlimen.

“Masing-masing mempunyai peranan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Parlimen pula berkuasa membuat undang-undang dan kerajaan melaksanakan tugas serta baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bertindak semak dan imbang.

“Maka, sebab itu perkara penting yang termaktub dalam perlembagaan mesti mendapat ampun perkenan baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu. Inilah ikrar keramat dan persetujuan sebelum Persekutuan Tanah Melayu Merdeka tahun 1957,” katanya.

Beliau menyatakan rakyat wajib memperkasakan dan mendaulatkan Fasal 153 dan Fasal-Fasal yang berkaitan dalam Perlembagaan Negara.

Tegas beliau, Putra dan Perkasa melafazkan ikrar serta sumpah mempertahankan ketitisan darah terakhir sehingga kiamat bahawa sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berpalimen dan Persetujuan Sosial Kontrak akan dipertahankan dengan membujur lalu melintang patah di mata hujung keris Taming Sari.

“Ampun Tuanku, patik berdatang sembah menjunjung kasih taat setia sempena Pertabalan Tuanku ke-16 pada 30 Julai 2019,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast