Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelawaan tender untuk kontraktor tempatan bagi pakej kerja-kerja sivil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan bermula suku keempat tahun ini.

Menurut Malaysia Rail Sdn. Bhd. (MRL), sejumlah 331 daripada 1,321 syarikat tempatan telah disenarai pendek sebagai pembida berpontesi melalui program Pra Kelayakan (Pre-Q) baru-baru ini.

Daripada 331, 70.7 peratus atau 234 adalah syarikat pembinaan milik bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pemulaan bagi pakej tender untuk 40 peratus kerja-kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja terowong) akan melibatkan jajaran dari Dungun ke Mentakab yang merangkumi panjang 223 km di mana jajaran tersebut telah dimuktamadkan.

Namun begitu, pelawaan tender kepada kontraktor-kontraktor tempatan akan diteruskan sepanjang fasa pembinaan projek ECRL.

Tambahnya, tender-tender di masa hadapan akan melibatkan jajaran dari Kota Bharu ke Dungun serta jajaran Selatan baru antara Mentakab dan Port Klang apabila muktamad kelak.

Projek yang dijangka siap pada tahun 2026 ini juga berkait rapat kepada penglibatan yang efektif oleh kontraktor-kontraktor tempatan dalam kerja-kerja sivil termasuk kerja-kerja tanah, asas, struktur, penambahbaikan tanah dan jalan, apabila siap pada hujung tahun 2026 nanti.

Menurut Darwis, kesemua syarikat yang telah berjaya disenarai pendek akan menerima maklumbalas secara bertulis sebelum akhir Ogos 2019 ini daripada China Communications Construction Ltd. (CCCC) yang merupakan kontraktror kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL yang merangkumi panjang 640 km.

“Sebelum penggantungan projek ECRL, pihak CCCC ada melantik syarikat tempatan yang terdiri daripada pembekal, kontraktor, dan perunding bagi kerja-kerja awalan ECRL.

“Kontrak dan perlantikan ini bagaimanapun telah digantung berikutan penggantungan projek ECRL pada 3 Julai 2018.

“Justeru, dengan penyambungan semula projek ECRL, pihak CCCC akan menghormati semua perjanjan dan pesanan pembelian yang dikeluarkan untuk menyambung semula kerjakerja yang telah dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Projek ECRL dijadualkan siap pada bulan Disember 2026 dan dijangka akan menghubungkan Kota Bharu ke Putrajaya dalam masa 4 jam.- MalaysiaGazette