IDCC dilengkapi dengan kemudahan yang canggih dan mudah diakses dengan mudah melalui Lebuhraya Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan.

SHAH ALAM – Convention Centre Sdn Bhd (IDCC) Shah Alam menyasarkan dapat menarik lebih ramai pelanggan korporat yang mengadakan acara dan kursus pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Tan Chin Yen berkata, sasaran itu melibatkan penggunaan dewan seminar pada hari biasa.

Jelas beliau, ketika ini, majlis perkahwinan menguasai hari minggu dengan jumlah penggunaan dewan melebihi 50 peratus.

“IDCC kini menjadi pilihan kerana merupakan pusat pertemuan, konvensyen dan pameran yang dilengkapi dengan kemudahan yang canggih dan mudah diakses melalui Lebuhraya Shah Alam dan Lebuhraya Persekutuan.

“Apatah lagi, kami menawarkan kemudahan mempunyai lantai yang menakjubkan untuk tingkap-tingkap kaca siling yang dipantulkan dengan cahaya semulajadi bagi memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung menerusi pemandangan dan pemandangan bandar raya Shah Alam.

“Di IDCC, visi kami adalah menjadi pusat acara tempatan dan antarabangsa yang terkemuka apabila mencatatkan purata 500,000 pelawat dan menganjurkan lebih daripada 500 acara setiap tahun,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Dengan memiliki sebanyak  11 dewan yang boleh disesuaikan dengan pelbagai acara dan kapasiti sehingga 8,000 orang, IDCC menawarkan pelbagai pakej bermula serendah RM35 bagi seorang.

Sementara itu, bagi segmen hotel, Chin Yen yakin lima hotel bajet baharu yang bakal dibina menjelang akhir tahun 2020 akan memberi impak kepada kedatangan pengunjung ke atas kadar penginapan.

QIU_5670
Pengarah Urusan IDCC, Tan Chin Yen (kanan).

Beliau berkata, buat masa ini kadar penginapan di hotel bajet sedia ada amat menggalakkan iaitu melebihi 50 peratus dan IDCC mengunjurkan nilai statistik itu meningkat pada tahun hadapan.

Menurutnya, IDCC mempunyai lima hotel bajet iaitu Pegasus Inn yang terletak di Shah Alam, Fumah terletak di Kepong dan Damansara; Selangor dan Jalan Kuchai Lama; Kuala Lumpur serta Ideal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

“IDCC merancang untuk membuka lima lagi hotel bajet di sekitar Lembah Klang. Kami mahu menambah bilangan hotel bajet untuk memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, kebanyakan mereka memilih untuk menginap di hotel bajet kerana mahu hotel yang selesa dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Chin Yen berkata, IDCC menjangkakan hotel bajet menjadi pilihan pelanggan kerana ia terletak di lokasi yang strategik dan popular dalam kalangan pelancong.

“Ia memiliki keunikan tersendiri dan pengalaman menginap di hotel itu bakal melengkapkan lagi program percutian mereka.

“Hotel ini sesuai untuk penginapan keluarga dan juga individu yang bekerja. Ia lengkap dengan pelbagai kemudahan utama. Selain itu, ia menjadi pilihan dalam kalangan pelajar sekolah dan delegasi dari luar negara,” katanya.

Tambahnya, faktor lain yang menyumbang kepada pertumbuhan kadar penginapan di hotel tersebut ialah inisiatif promosi hotel untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Antara pakej yang ditawarkan ialah kadar RM198 untuk penginapan satu malam di hotel. Trend pelanggan yang membuat tempahan di platform media sosial juga menyokong jualan tempahan hotel,” katanya.

Tambahnya, bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri perhotelan, IDCC merancang untuk memiliki hotel bertaraf empat bintang di Petaling Jaya, Selangor pada tahun depan. – MalaysiaGazette

pegasushotel-10-17_097-1024×632
Hotel bajet Pegasus Inn yang terletak bersebelahan IDCC di Shah Alam.