Kam Foon (Kanan) memuat naik gambar bersalaman dengan lelaki yang bertindak membaling telur di pejabatnya

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bertindak membaling telur ke arah pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Steven Chaw Kam Foon dilepaskan polis selepas dia ditahan kerana tindakannya itu.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Kam Foon menerusi Facebook setelah beliau menemui lelaki itu di Balai Polis Kampung Tawas malam tadi.

Menurutnya, lelaki itu dibebaskan kira-kira pukul 1.45 pagi selepas polis mengambil keterangannya.

Malah, beliau berkata, tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap lelaki itu ekoran mengambil maklum terhadap kebimbangan yang dihadapi lelaki itu atas segala isu yang dibangkitkan.

“Saya berkesempatan berbincang selama 30 minit dengan lelaki itu atas insiden yang telah berlaku dan bertukar-tukar pandangan dengan beliau dalam satu keadaan yang amat harmoni. Isteri beliau ada bersama beliau sepanjang masa di balai polis.

“Beliau merupakan seorang rakyat yang amat prihatin dan saya mengambil maklum kebimbangan beliau atas segala isu yang dibangkitkan.

“Saya menegaskan DAP sentiasa bersedia mendengar pandangan rakyat dan pintu kita selalu terbuka. Kami akan meneruskan usaha kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial berkenaan.

Semalam, sebuah rakaman tular menunjukkan aksi lelaki terbabit bertindak menyerang sebuah pusat komuniti dengan membaling telur.

Lelaki itu bertindak demikian selepas didakwa membantah pengenalan seni khat dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai tahun depan.

Sambil mengeluarkan kata-kata kesat, lelaki berkenaan meluahkan perasaannya apabila meminta DAP agar tidak mengkhianati orang Cina berhubung perkara itu.

Terdahulu, Kam Foon menyatakan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai khasnya, Khairul Nizam berhubung tindakan lelaki itu.

Bagaimanapun laporan tersebut telah ditarik balik.

Sin Chew Daily melaporkan Khairul Nizam berada di pusat komuniti itu ketika kejadian berlaku dan Kam Foon tiba di lokasi terbabit dalam masa 10 minit selepas dihubungi.

Mereka kemudiannya ke Balai Polis Menglembu untuk membuat laporan pada 6.30 petang.

Akhbar itu memetik Kam Foon sebagai berkata, beliau mendapat tahu lelaki berkenaan berang dengan satu senarai palsu wakil rakyat DAP menyokong atau membantah pengenalan seni khat yang tersebar di media sosial.

Dalam pada itu Chaw berkata, ADUN dan ahli Parlimen DAP akan membincangkan cara untuk menangani isu seni khat di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur malam ini.

Sabtu lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan seni khat dalam subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 walaupun dibantah sebilangan kecil masyarakat.

Perdana menteri berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain, termasuk bahasa Cina kerana ia adalah keistimewaan di Malaysia. – MalaysiaGazette