Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua kanan) bersama Pengarah Urusan Helikopter Airbus Malaysia, Raymond Lim (kanan) melihat antara helikopter airbus yang terdapat di Airbus Helicopters Malaysia Sdn Bhd pada Majlis Perasmian Pusat Penyiapan dan Penyerahan Helikopter Airbus di Subang Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 OGOS 2019.

SUBANG – Kerajaan sedang memberikan tumpuan kepada kawasan Subang Jaya untuk dijadikan sebagai hub angkasa dan penerbangan bagi rantau Asia Pasifik.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi tujuan itu satu pelaburan besar akan dilaksanakan di kawasan tersebut dan pengumumannya bakal dibuat dalam masa terdekat.

Tanpa menyatakan jenis pelaburan yang akan dibawa masuk ke Subang, Siew Fook memberitahu, ia turut mempunyai kaitan dengan industri aeroangkasa.

“Industri aero angkasa bukan sahaja menjadi pusat pembaikan MRO (penyelenggaraan pesawat, pembaikan dan perbaikan). Terdapat beribu-ribu komponen yang digunakan dan berasal dari sumber berbeza.

“Bagi setiap pesawat Airbus, ada sesuatu yang dihasilkan dari Malaysia kerana kita mempunyai kilang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Hab Penyiapan Serantau Helikopter Airbus dan Pusat Penghantaran (CDC) di sini hari ini.

Menegaskan pentingnya industri aeroangkasa di rantau ini, Loke memberitahu, pasarannya kini sedang berkembang kerana terdapat peningkatan permintaan dari sektor minyak dan gas.

Katanya, perkhidmatan lain, seperti industri perubatan, serta individu tertentu, menggunakan helikopter untuk kerja mereka atau penggunaan peribadi menjadikan helikopter sebagai satu medium pengangkutan yang penting pada masa ini.

“Sektor utama adalah dari minyak dan gas. Sudah tentu bagi individu, mereka adalah VVIP.

“Jika menteri, kita tidak mampu membeli helikopter. Satu helikopter kosnya kira-kira AS$3 juta (RM12.6 juta). Menteri tidak mampu membeli,” ujarnya berseleroh.

Terdahulu, dalam ucapan pembukaannya, Siew Fook berkata, terdapat pertumbuhan yang lebih besar dalam dua dekad berikutnya bagi semua jenis pesawat di rantau ini, terutamanya helikopter komersil.

Beliau berkata, kerajaan telah mengenal pasti aeroangkasa sebagai industri strategik dengan potensi besar untuk membantu perindustrian dan pembangunan negara.

Jelas beliau, pada masa ini terdapat lebih 9,000 helikopter di rantau Asia Pasifik dan di negara ini sahaja terdapat sebanyak 200 buah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast