Harry Maguire menandatangani perjanjian jangka panjang selama enam tahun bersama Manchester United.

LONDON – Manchester United akhirnya mengesahkan kelab itu telah menandatangani Harry Maguire menerusi perpindahan yang mencatat rekod dunia dengan harga 80 juta pound (RM404 juta) daripada Leicester City.

Maguire, 26, muncul sebagai pertahanan termahal di dunia selepas United sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan pemain yang menjadi sasaran utama Ole Gunnar Solskjaer itu.

Pemain antarabangsa England itu dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak musim panas lalu lagi dan menjadi buruan Manchester City yang turut melancarkan bidaan dalam usaha mendapatkan tandatangan pertahanan tersebut pada awal musim panas ini.

Foxes meletakkan harga tinggi yang mana United akhirnya membuat keputusan yang disifatkan berbaloi bagi mendapatkan khidmat bekas bek tengah Hull City itu.

Maguire menjadi pemain ketiga yang ditandatangani kelab itu, musim panas ini, selepas Daniel James dan Aaron Wan-Bissaka menyertai pasukan tersebut pada awal jendela perpindahan.

Penilaian kedua-dua kelab tersebut terhadap Maguire dipercayai dipisahkan 20 juta pound (RM101 juta) pada awal minggu ini, dengan bidaan United bernilai 70 juta pound (RM353 juta) ditolak Leicester kerana mereka menuntut harga 90 juta pound (RM455 juta).

Pemain bek tengah yang memiliki 20 cap itu telah pun menandatangani perjanjian jangka panjang selama enam tahun.

Yuran perpindahan tersebut telah memecah rekod yang dicatat Liverpool sewaktu membeli Virgil van Dijk yang berharga 75 juta pound (RM379 juta) dari Southampton pada Januari 2018.

Sebelum ini,, United berada dalam situasi terdesak bagi mengukuhkan benteng pertahanan mereka selepas kecederaan yang menimpa Eric Bailly pada pra-musim yang mengakibatkan pemain itu terpaksa diketepikan selama lima bulan. – MalaysiaGazette