Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Teresa Kok didakwa cuba menutup kelemahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menggunakan alasan tidak adil kepada pekebun-pekebun lain untuk memberhentikan skim bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil kelapa sawit.

Sedangkan, sekiranya kerajaan komited mahu membantu golongan ini, kesemuanya termasuklah pekebun kecil persendirian dan tersusun boleh menerima skim bantuan ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, sebenarnya kerajaan PH tidak mempunyai peruntukan yang cukup disebabkan kekurangan pendapatan selepas pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun lalu.

Akibatnya skim bantuan tanaman semula ini menjadi ‘mangsa’ dan dijangka banyak lagi bantuan-bantuan rakyat luar bandar seperti bantuan nelayan, pesawah, dan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang dihentikan pada Belanjawan 2019.

Malah, beliau mendakwa pekebun-pekebun kecil ini terpaksa berhutang di bawah dua skim pinjaman baharu yang dirancang oleh kerajaan PH.

“Tindakan Kerajaan untuk menghentikan skim bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara adalah amat dikesalkan lebih-lebih lagi di kala pekebun kecil yang mencecah hampir 650,000 orang kini terpaksa berhadapan dengan harga minyak sawit global yang rendah.

“Sudahlah harga sawit rendah dan pekebun-pekebun kecil ini tidak boleh menyimpan banyak untuk tabung sara hidup mereka! Bagaimana pula nasib mereka yang terpaksa berhutang dan kekurangan dana sara hidup untuk menyara keluarga sementara menunggu hasil pokok matang?,” katanya yang amat kecewa dengan keputusan Kementerian Industri Utama dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO mahu kerajaan PH, khususnya Menteri Kewangan untuk meluluskan segera peruntukan khas bagi skim bantuan tanam semula dalam bentuk geran kepada semua pekebun kecil seluruh negara baik persendirian atau tersusun seperti di Felda dan Felcra untuk meringankan beban mereka yang sudah besar akibat harga minyak sawit dunia rendah. – MalaysiaGazette