Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir tidak boleh terus membiarkan kemelut akibat ketidakserasian komponen Pakatan Harapan (PH) terhadap dasar-dasar kerajaan terus berpanjangan.

Ini kerana, ia akan mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan, selain mempengaruhi sentimen dan keyakinan pihak luar terhadap Malaysia.

Lagipun, menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sudah banyak agenda kerajaan disabotaj oleh komponen PH sendiri disebabkan tiada tanggungjawab kolektif dalam kalangan mereka.

Maka, Timbalan Presiden Pas itu menyarankan semua wakil DAP dalam Kabinet melepaskan jawatan selepas dua isu yang disuarakan bercanggah dengan pendirian kerajaan pada mutakhir ini.

Pertama membabitkan isu ekstradisi Dr Zakir Naik dan kedua ialah isu pelaksanaan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat.

Menurutnya, isu ekstradisi Dr Zakir telah dijelaskan dan dijawab dengan baik oleh Kementerian Dalam Negeri, namun ia tetap ditekan oleh DAP.

Begitu juga dengan isu pelaksanaan tulisan khat yang telah dimuktamadkan oleh perdana menteri, tetapi masih wujud penentangan keras dari DAP.

“DAP hanya mementingkan kepentingan partinya dan tidak mahu mengangkat semangat tanggungjawab kolektif dalam Kabinet.

“Hal ini jelas menunjukkan ketidakserasian dalam kalangan komponen PH terhadap dasar-dasar kerajaan.

“Maka, saya sarankan agar mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan perlu mengundurkan diri agar tidak menjadi duri dalam Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tuan Ibrahim menegaskan negara memerlukan Kabinet yang lebih kuat, bersatu hati dan lebih kukuh untuk melonjakkan Malaysia ke arah yang lebih baik. – MalaysiaGazette