KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, beberapa kenyataan pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik menyebabkan rakyat rata-rata ahli politik saling kecam mengecam antara satu sama lain.

Kenyataan-kenyataan penceramah itu melalui ucapannya turut menyebabkan masyarakat India dan kini Cina makan hati, apatah lagi ianya lebih bersifat serangan peribadi.

Akibatkan kehadiran Zakir dilihat telah mengganggu keharmonian di negara ini.

Zakir anak kelahiran Mumbai, India di kehendaki di negaranya sendiri atas tuduhan aktiviti keganasan dan penggubahan wang haram.

Namun demikian, bekas Menteri, Tan Sri Rafidah Aziz meminta rakyat bertenang dan tidak membiarkan ‘orang luar’ seperti Zakir memerangkap minda atas nama ‘agama’ sehingga bergaduh sesama sendiri.

Malaysiakini melaporkan, Rafidah ketika bercakap dengan portal itu berkata, seharusnya rakyat di negara ini tidak kira latar belakang serta pegangan tidak sepatutnya membiarkan perkara-perkara yang tiada relevan atau kaitan terus mengganggu kehidupan seharian.

Kata ahli politik veteran itu, isu-isu seperti ini adalah bertujuan untuk mengalihkan pandangan umum daripada krisis sebenar yang sedang dihadapi saban hari.

Antara contoh diberikan olehnya termasuk kemelesetan ekonomi yang semakin membimbangkan dunia ketika ini.

“Saya hanya ingin bertanya kepada anda sekelian, mengapa rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri disebabkan orang asing yang kini dicari oleh pihak berkuasa di negaranya sendiri?

“Kenapa ada di antara kita yang masih sangat mudah mindanya terperangkap dalam pelbagai perkara atas nama agama?

“Kita tidak boleh membiarkan perkara-perkara yang tiada kaitan, tidak relevan mengalihkan perhatian kita dari isu-isu sebenar yang perlu ditangani,” katanya sebentar tadi.

Jelasnya lagi, terdapat tindakan undang-undang yang boleh diambil berhubung status Zakir dan ia akan berpihak kepada negara asal pendakwah itu.

Dalam pada itu, bekas Ketua Wanita UMNO itu juga memberi peringatan negara ini juga sedang menunggu pemulangan beberapa pelarian yang mahu dibawa ke muka pengadilan.

“Saya menggesa rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan perkara-perkara yang tidak relevan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat kita dan tidak ada pihak yang seharusnya menjadikan masalah itu modal politik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian apabila ramai pihak termasuk pemimpin parti politik kerajaan menggesa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghantar Zakir pulang ke negara asalnya. – MalaysiaGazette

Apa masalah Syed Saddiq, Rais halau Dr. Zakir Naik?

Tun, jika Dong Zong itu dilabel rasis, apa pula Zakir Naik? – Rayer