KUALA LUMPUR – Seorang bekas peguam yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan pecah amanah, sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi enam pertuduhan sama membabitkan kerugian lebih RM800,000 dalam transaksi jual beli hartanah.

Mohd Haidar@Hasmayudin Mohd Hashim, 47, yang hadir ke mahkamah berkerusi roda mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd Haidar sebagai peguam di Tetuan Mohd Haidar & Co diamanahkan wang berjumlah RM806,458.74 yang merupakan bayaran bagi baki harga belian untuk penjualan hartanah seperti dalam perjanjian jual beli membabitkan enam mangsa, didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menggunakan harta tersebut bagi kegunaan sendiri.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Tetuan Mohd Haidar & Co beralamat di No.2-2, Tower 3, Bangsar Avenue 3, Jalan Kerinchi, di sini antara 2014 hingga 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin tidak menawarkan sebarang wang jaminan berikutan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun sejak 2017 di Penjara Kajang selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah kerugian berbeza dua tahun lepas.

Mahkamah menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes. – Bernama