Kereta Toyota Inova hitam yang dipercayai membawa Dr. Zakir Naik melalui hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman petang tadi.

KUALA LUMPUR – Pendakwah, Dr. Zakir Naik telah memasuki kawasan ibu pejabat Bukit Aman untuk dirakam keterangan.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan tindakannya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu ceramah di Kelantan baru baru ini.

Namun tidak pasti bila penceramah itu memasuki kawasan Bukit Aman namun berdasarkan maklumat awal kemunculannya di ibu pejabat polis itu adalah sekitar pukul 3 petang.

Semalam media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong), ahli perniagaan Koon Yew Yin dan Dr. Zakir Naik untuk disoal siasat berhubung kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan mereka secara berasingan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut diambil berikutan beberapa laporan polis telah dibuat ke atas mereka dan siasatan sedang dijalankan. – MalaysiaGazette