Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas melawat Red Q, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang. foto NOOREEZA HASHIM, 16 OGOS 2019.

SEPANG – Status Penduduk Tetap (PR) di Malaysia yang dimiliki oleh penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik boleh ditarik balik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menjelaskan, tindakan itu boleh dikenakan jika pendakwah kelahiran India itu terbukti mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dakwaan Zakir mengeluarkan ceramah yang berunsur hasutan baru-baru telah pun menjadi kes polis.

“Beliau memiliki status PR negara dan kita boleh tarik balik jika terbukti beliau mengganggu-gugat kesejahteraan negara ini.

“Ketika ini polis sedang siasat dan dalam kes ini, kita akan halang beliau beri ceramah berbentuk provokasi yang boleh cetus persengketaan pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat AirAsia di RedQ, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang di sini hari ini.

Pada April 2017, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Zakir mendapat status PR di Malaysia sejak 2012.

Mahathir diminta mengulas spekulasi bahawa Zakir akan diserahkan kepada Arab Saudi sekiranya negara tersebut sedia menerima pendakwah itu.

Ia berikutan kontroversi menimpa Zakir berkaitan tindakannya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu ceramah di Kelantan baru baru ini.

Hari ini, Zakir dilihat telah memasuki ibu pejabat Bukit Aman untuk dirakam keterangannya.

Ditanya sama ada Zakir perlu memohon maaf, Mahathir berpendapat, tindakan itu tidak akan meredakan kemarahan segelintir masyarakat kerana ia telah menjadi kes polis. – MalaysiaGazette