Penggunaan tulisan Rumi tidak melarang penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan Bahasa Kebangsaan.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menafikan bahawa kenyataan medianya mengenai usaha kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi yang dikeluarkan pada 6 Ogos merujuk kepada usaha Islamisasi sebagaimana didakwa oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Sebaliknya, Yadim menjelaskan kenyataan yang dipetik itu, iaitu`meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap Jawi dan Bahasa Arab serta memudahkan mereka untuk mempelajari al-Quran dan memahaminya, seterusnya ‘beramal’ dengannya secara mudahnya dapat difahami merujuk kepada generasi muda Islam.

Ujar agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, perenggan berkenaan membawa maksud dengan memahami tulisan Jawi, ia akan memudahkan generasi muda Islam hari ini untuk mempelajari Al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya.

“Kenyataan media itu juga dengan jelas menyatakan bahawa usaha kerajaan itu adalah untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi yang merupakan sebahagian daripada Bahasa Melayu serta menggalakkan kefahaman silang budaya sebagaimana dihasratkan dalam membentuk sebuah masyarakat yang rahmah.

“Yadim meminta kenyataan media itu dibaca secara keseluruhannya, dan justeru, tindakan Dong Zong yang hanya merujuk kepada perenggan keenam kenyataan media tersebut tanpa merujuk kepada keseluruhan artikel, adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan terdesak,” kata agensi itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yadim menegaskan, mereka konsisten bahawa tulisan Jawi dan seni khat merupakan warisan budaya yang telah membentuk fabrik peradaban ketamadunan kita.

Ini juga dilihat selaras dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa tulisan Jawi adalah suatu bentuk seni.

“Kenyataan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Maszlee Malik yang menyatakan bahawa bukanlah suatu paksaan untuk mempelajari tulisan ini, sebaliknya ia usaha bagi meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu perlu diraikan dan tidak menjadi kebimbangan oleh mana-mana pihak.

“Bahkan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf yang mahu setiap agensi di bawah beliau untuk memperkasakan tulisan Jawi juga sewajarnya disokong.

“Dalam berhadapan dengan isu ini, Yadim mengambil pendekatan rahmah dan terbuka untuk bersama-sama dengan mana-mana pertubuhan atau pihak untuk berdialog mengenai perkara ini dalam mencari jalan penyelesaian, berbanding mencari polemik.

“Dalam era Malaysia baharu, perbezaan pendapat sememangnya sentiasa diraikan, namun ia hendaklah dilaksanakan dalam kerangka rahmah yang menyantuni semua,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. jawi adalah hak bangsa melayu. walau pun ia digadai oleh umno semasa berkuasa dengan alasan kemudahan semua kaum. rakyat tak dapat menerimanya. sebenarnya jawi dimansuhkan kerana politik.

Comments are closed.