Shahir Adnan

SEDAR atau tidak, kita menghampiri ke penghujung tahun 2019 dan hanya empat bulan lagi, kita semua bakal memasuki tahun 2020. Tahun 2020 merupakan satu tarikh keramat buat semua rakyat Malaysia, terutama golongan anak muda yang didendangkan dengan visi Wawasan 2020 sejak tahun 1991.

Wawasan 2020 adalah dasar pandangan jauh dikemukakan Tun Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri ke-4 ketika membentangkan kertas kerja khas bertajuk ‘Malaysia: Langkah Ke Hadapan’ pada persidangan pertama Majlis Perdagangan Malaysia pada 1 Mei 1991. Persoalannya hari ini, adakah Wawasan 2020 sudah tersasar?

Antara matlamat Wawasan 2020 adalah untuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada SATU BANGSA Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Inilah juga teras visi dan misi Parti IKATAN Bangsa Malaysia yang mahukan sebuah negara Malaysia yang bersatu dengan kesefahaman sebagai satu Bangsa Malaysia tanpa menidakkan identiti asal bangsa masing-masing.

Namun begitu, amat malang sekali apabila kita melihat rakyat Malaysia pada hari ini semakin terpecah dan terpisah. Situasi negara pada hari ini amat membimbangkan dengan pelbagai isu berkaitan agama dan bangsa menjadi penyeri tajuk berita. Contoh paling mudah adalah berkaitan isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat yang menjadi tajuk utama berita nasional selama hampir empat minggu.

Pelbagai kenyataan media yang berdolak-dalik dilihat daripada pihak Kementerian Pendidikan dan juga kumpulan pendesak Dong Zong.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menzahirkan kekesalan di atas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menterinya, YB Dr. Maszlee yang dilihat berlembut dengan isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat di sekolah sehingga keputusan demi keputusan telah diperkotak-katikkan oleh golongan pendesak Dong Zong yang mengeluarkan kenyataan balas yang angkuh.

Kenyataan media terbaru daripada Kementerian Pendidikan merujuk bahawa pembelajaran jawi hanya dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan. Walaupun pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat kini menjadi pembelajaran pilihan dan dikurangkan bilangan mukasurat daripada enam (6) kepada hanya tiga (3) mukasurat, Dong Zong masih tidak berpuas hati hingga digelar oleh Tun Mahathir sebagai kumpulan pendesak yang rasis.

Penentangan Dong Zong dibuat sejak berpuluh tahun lamanya. Tun Dr. Mahathir pernah memperkenalkan konsep “Sekolah Wawasan” ketika menjadi Perdana Menteri ke-4.

Sekolah Wawasan berkonsepkan penyatuan semua bangsa di Malaysia di mana Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Vernakular (SJKC dan SJKT) dibina berdekatan. Konsep ini membolehkan anak-anak kita bercampur gaul dan berkongsi kemudahan rekreasi bersama-sama seperti padang bola, gelanggang badminton dan gelanggang bola keranjang. Ketika itu Dong Zong menentang idea ini. Hari ini, Dong Zong juga “menang” isu Jawi walaupun Jawi sebenarnya menjadi pemangkin kepada penyatuan Bangsa Malaysia. Jelaslah bahawa Wawasan 2020 makin tersasar!

Terbaru, pimpinan parti politik Pakatan Harapan bertelagah berkenaan isu pendakwah bebas Zakir Naik. Pemimpin DAP, Lim Kit Siang ada mengeluarkan kenyataan yang menyokong saranan supaya pendakwah bebas antarabangsa Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela. Lim berkata Zakir Naik perlu meninggalkan negara ini kerana didakwa boleh memberi kesan kepada kestabilan negara. Sekali lagi, isu Zakir Naik menjadi penghias berita nasional selama empat minggu dan turut menjadi isu utama buat pemimpin Pakatan Harapan.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia melihat kenyataan Lim Kit Siang ini menggambarkan ketidaksefahaman antara pimpinan tertinggi Pakatan Harapan. Kenyataan Lim Kit Siang keluar setelah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyifatkan kedudukan pendakwah tersohor dunia Dr Zakir Naik ibarat “ditelan mati emak, diluah mati bapa” dan meyebabkan Malaysia dalam keadaan serba salah.

Perbezaan pendapat isu pokok dengan Perdana Menteri menggambarkan perpecahan yang ketara antara pimpinan Pakatan Harapan. Persoalannya, bagaimanakah Wawasan 2020 ingin dicapai jika kerajaan yang memerintah tidak sepakat? Jelaslah bahawa Wawasan 2020 makin tersasar!

Dari sudut ekonomi, antara matlamat Wawasan 2020 adalah untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi serta mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah sekitar $50 bilion, dengan sasaran kira-kira pertumbuhan pesat yang memerlukan pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun akan datang. Hari ini, pertumbuhan purata pada suku pertama 2019 hanya sekadar 4.5% dan suku kedua 2019 sekitar 4.9% .

Hari ini, KDNK negara mencatatkan $314.5 bilion, berbanding jangkaan asal $400 bilion.

Mengikut takrifan Bank Dunia pada tahun 2017, negara berpendapatan tinggi adalah negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita USD 12,235 atau lebih. Pendapatan per kapita adalah purata pendapatan tahunan bagi sesebuah negara. Ia ditentukan dengan membahagikan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah penduduk negara berkenaan. Pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2018, mengikut unjuran International Monetary Fund (IMF) ialah USD 11,079.26.

Pendapatan per kapita ini belum melayakkan Malaysia dikategorikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pertumbuhan lembap KDNK negara yang hanya sekitar 4.5%, bukannya 7%.

Sebagai penutup tinta kali ini, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa akan susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU-15 dek kecelaruan yang ditimbulkan oleh Pimpinan Pakatan Harapan. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan pimpinan Pakatan Harapan yang leka dengan kerakusan politik mereka hari ini.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sentiasa cakna akan hal-hal anak muda terutama berkaitan jati diri Bangsa Malaysia, kemerosotan ekonomi negara dan penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia. Bertabahlah rakyat sekalian. Salurkan kegusaran anda kepada kami kerana kami mendengar denyut nadi kalian.

Selamatkan Kembali Malaysia!

#SelamatkanKembaliMalaysia
#SaveMalaysiaAgain
#PemudaMemimpin

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera