Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (kiri) bersalaman dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika hadir pada sidang media mengenai Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia boleh menyaksikan peristiwa bersejarah pada 14 September ini yang menyaksikan penyatuan rasmi dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada tarikh itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menandatangani Memorandum Persefahaman Piagam Muafakat Nasional.

Menurut beliau, program dua hari bermula 13 September itu diisi dengan acara zikir munajat yang dikendalikan Pergerakan Wanita UMNO, Puteri UMNO, Dewan Muslimat Pas Pusat dan Amirah.

Sepanjang hari itu, turut diadakan wacana oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia bersama Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selain solat hajat selepas solat Jumaat.

“Acara kemuncak pada hari pertama ialah rapat perdana atau ceramah umum oleh kedua-dua timbalan presiden parti dan naib-naib presiden parti.

“Semua program itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra dengan pelancarannya berlangsung di Dewan Merdeka,” katanya pada sidang media khas Himpunan Penyatuan Ummah hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, semua barisan kepimpinan Pas termasuk Abdul Hadi akan hadir sebagai tanda menterainya penyatuan ummah antara kedua parti terbesar orang Melayu itu.

Kata beliau, sebelum itu kedua-dua parti akan turun ke setiap negeri untuk memberi penerangan mengenai program berkenaan, yang julung kali menyaksikan penyatuan orang Melayu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.