Gambar hiasan.

BARU-baru ini ramai dalam kalangan rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya sekali dalam laporan media massa seperti Whatsapp yang meminta orang ramai mengarahkan doktor di klinik swasta mengeluarkan slip preskripsi ubat kepada pesakit. Ia juga menyatakan adalah menjadi kesalahan doctor jika tidak mengeluarkan slip tersebut.

Sebenarnya pada masa terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan bahawa doktor di klinik swasta boleh memberi ubat kepada pesakit di klinik masing-masing atas kapasiti kesusahan pesakit mendapatkan ubat-ubatan di premis lain yang berjauhan. Dalam sistem hybrid tersebut, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan ubat di klinik atau membelinya di farmasi lain.

Sudah semestinya pesakit akan mendapatkan ubat tersebut di klinik kerana faktor yang disebut tadi iaitu lokasi berbeza rawatan dan ubat adalah menyusahkan pesakit. Apabila kita jatuh sakit, maka kita sudah semestinya akan mencari doktor untuk mengetahui apa penyakit yang kita hadapi bukannya ubat apa yang sesuai untuk menghilangkan sakit kita. Ini adalah kerana sebahagian besar sakit kita terjadi apabila ketahanan tubuh kita kepada melawan penyakit menjadi lemah.

Sebagai contoh bila kita jatuh demam, adakah kita diserang oleh virus ataupun kuman mahupun faktor-faktor lain yang menyebabkan suhu badan kita meningkat. Jika kita mengambil jalan singkat dengan mengambil ubat untuk merendahkan suhu badan kemungkinan punca penyakit tidak dapat sembuh sepenuhnya. Dengan berjumpa doktor yang berpengalaman serta ilmu yang beliau ada dapat menentukan penyakit tersebut mendapat perhatian yang sepatutnya dan akan sembuh sepenuhnya dengan izin Allah.

Atas kelewatan kita merawat sendiri sakit demam di atas mungkin akan menyebabkan penyakit seperti demam denggi akan menjadi lebih parah dan kita mungkin berhadapan dengan kematian kerana lewat mendapat rawatan sebenar.
Ubat hanyalah salah satu cara rawatan yang terkini dimana banyak lagi faktor lain yang boleh menyumbang kepada kesembuhan sesuatu penyakit.

Sebagai contoh dalam rawatan penyakit kronik seperti kencing manis, kita tidak boleh bergantung kepada ubat sepenuhnya. Ini adalah kerana perubahan cara hidup pesakit kenalah berubah sepenuhnya. Cara makanan yang menyumbangkan kepada peningkatan gula dalam darah juga harus bertukar sepenuhnya. Begitu juga dengan aktiviti harian yang lebih sihat seperti bersenam dan menjaga tidur yang betul haruslah diutamakan.

Jadi dalam memenuhi kesihatan yang sempurna adalah menjadikan semua keperluan rawatan seperti ubat-ubatan, keberadaan doktor dan ujian yang segera serta ringkas perlu berada dalam satu tempat harus diutamakan. Ianya tidak perlu diasingkan, malahan tidak semestinya memaksa rakyat menerima pemisahan rawatan seperti mendapatkan ubat ditempat lain adalah tidak praktikal.

Mendapatkan rawatan di hospital mahupun di klinik adalah lebih selamat kerana mereka sentiasa dipantau oleh kementerian kesihatan dari segi rekod rawatan. Ini tidak terdapat di premis-premis farmasi yang tidak merekod ubat-ubatan yang dijual kepada individu yang jatuh sakit. Jadi, jika mahu rakyat dapatkan ubat-ubatan di premis farmasi kenalah terlebih dahulu memastikan mereka mempunyai rekod yang sempurna serta dipantau penjualan ubat-ubatannya oleh pegawai perubatan kementerian kesihatan Malaysia.

Keputusan rawatan jenis hibrid seperti yang diumumkan oleh kementerian kesihatan Malaysia adalah kaedah yang terbaik dimana masyarakat bebas memilih rawatan dan ubat-ubatan yang mereka lebih selesa dan selamat. Ubat-ubatan tidak harus dipisahkan kerana ianya boleh dijual di mana-mana saja termasuk kedai runcit mengikut tahap yang telah ditetapkan.

Bahaya jika ubat-ubatan dipisahkan adalah selain menyusahkan masyarakat mendapatkan ubat pihak farmasi akan mula mengenakan kos perundingan farmasi dalam setiap ubat yang diberi penerangan. Ini akan meningkatkan lagi kos rawatan pesakit. Jadi ianya tidak harus dipisahkan dari klinik bagi mengelak ianya terjadi.

Pemantauan ubat-ubatan adalah cara terbaik pihak KKM kena lakukan terutama kepada premis farmasi juga. Ini kerana sesetengah ubat yang terletak dalam kategori boleh jual di kaunter juga berbahaya digunakan tanpa pantauan.

Sebagai contoh kita pernah mendengar kes seorang pesakit yang hilang penglihatannya akibat mendapat ubat titik mata pada mulanya di klinik dan seterusnya membeli ubat tersebut di farmasi dalam jangka masa yang lama. Dia tidak mengetahui bahawa kandungan ubat titik tersebut mempunyai steroid yang boleh merosakkan tisu mata jika dipakai dalam tempoh yang lama. Jadi setiap penjualan ubat-ubatan kenalah ada rekod supaya senang dipantau.

Ada lagi satu kajian di mana ubat angin biasa yang boleh dibeli di farmasi jika digunakan berterusan tanpa pantauan boleh menyebabkan pesakit mengalami strok atau serangan angina ahmar. Perut kita dijadikan Allah dalam keadaan berasid dimana ianya adalah pertahanan tubuh yang pertama dalam menghalang segala kuman dan toksin dari memasuki tubuh badan kita.

Bila kita menggunakan antacid atau ubat angin berterusan tanpa pantauan, ia akan mengakibatkan ketahanan tubuh di perut menjadi lemah dan membenarkan toksin berbahaya memasuki tubuh seterusnya mengganggu tubuh badan kita dan boleh mengakibatkan gejala buruk seperti serangan angina ahmar.

Jadi sebelum kita mahu mengasingkan dispensari kita harus memastikan adakah ianya berbaloi dan menyenangkan masyarakat. Dalam suasana masyarakat yang semakin susah sekarang janganlah kita menyusahkan mereka lagi. Banyak faktor perlu diambil kira seperti memenuhi permintaan doktor dalam mengenakan bayaran konsultasi yang masih tak dapat ditetapkan, Pantauan terhadap farmasi mengenai rekod pesakit dan skim kesihatan yang komprehansif yang belum dapat dilaksanakan.

Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail
Presiden PERDIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast