Datuk Nadzim Johan
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah melancarkan tabung Food Bank PPIM untuk membantu wartawan dan kakitangan Utusan Melayu Malaysia Berhad yang dihimpit masalah tunggakan gaji.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, inisiatif murni itu bertujuan untuk mengenang jasa rakan-rakan media khususnya yang bertugas di Utusan Malaysia yang berdepan kesulitan dari segi pembayaran gaji untuk menguruskan keperluan harian.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kekangan kewangan syarikat Utusan sehingga mengakibatkan pekerjanya menghadapi kesukaran.

“Hampir tiga bulan tanpa gaji sehingga ada dalam kalangan pekerja mereka terpaksa memberi air sirap menggantikan susu kepada anak mereka selain terpaksa menggadai harta dan barang kemas serta pinjam Ahlong demi kelangsungan hidup.

“Maka demi mengurangkan kesusahan mereka, PPIM melancarkan FoodBank ini dan merayu bantuan bentuk barangan makanan, minuman, susu formula, lampin pakai buang, tuala wanita, barang kebersihan diri (syampu, sabun mandi, berus dan ubat gigi) dan apa sahaja yang mampu membantu mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nadzim, PPIM dengan rendah hati memohon jasa baik rakan-rakan korporat, usahawan, dan dermawan supaya tampil membantu usaha kerdil pihaknya.

Katanya segala bentuk bantuan boleh dihantar ke pejabat Resepsi PPIM di Villa Puteri Kondominium, Jalan Tun Ismail.

“Ia antara usaha kami PPIM yang sentiasa peka dan memperjuangkan hak kebajikan pengguna di negara ini selama lebih 20 tahun.

“Sumbangan berbentuk kewangan boleh disalurkan k e akaun CIMB PPIM 8001230731,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette