Suasana di sekitar kawasan Brickfields yang terletak di ibu kota kelihatan tenang meskipun didakwa akan menjadi tempat demonstrasi membantah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik pada petang ini semasa tinjaun lensa Malaysia Gazette. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Mesej-mesej mengajak orang ramai berhimpun di Brickfields masih tular meskipun demonstrasi besar-besaran membantah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik pada petang ini sudah dibatalkan.

Mesej  tersebut yang rata-rata daripada aplikasi sosial seperti Whatsapp itu disebarkan oleh induvidi dan kumpulan tidak dikenali dengan meminta masyarakat India turun memberi sokongan kepada penganjuran demonstrasi tanpa permit ini.

Antara yang didakwa dalam mesej itu ialah menyuruh penyokong berhimpun secara aman dan bersurai tanpa melakukan apa-apa provokasi.

Semalam jurucakap penganjur, Shankar Ganesh memberitahu pihaknya telah bertindak membatalkan perhimpunan itu yang juga telah mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat umum khasnya penyokong Zakir Naik bertindak demikian selepas campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shankar mendakwa, Ahli Parlimen Port Dickson itu telah menghubunginya dan berjanji akan bertemu minggu depan dalam membantu menyelesaikan isu tersebut.

MGF24082019_TINJAUAN BRICKFIELDS SEMPENA DEMONSTRASI DR. ZAKIR NAIK05
Aktiviti perniagaan di Jalan Brickfields berjalan seperti biasa walaupun perhimpunan besar-besaran membantah penceramah Dr Zakir Naik dikatakan akan berlaku pada petang ini. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2019

 

Rakaman video selama 26 minit yang kebanyakan dalam bahasa Tamil berkata, Shankar mendakwa Anwar merayu beliau tidak meneruskan himpunan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Others.’

Beliau menyifatkan panggilan telefon daripada pemimpin PKR  akan membuahkan hasil kepada niat perjuangan mereka ,selain meletakan kepercayaan menggunung terhadap Anwar.

“Saya juga tidak mahu langgar undang-undang dengan kita tidak ada permit untuk adakan perhimpunan ini, nanti yang kena tempias adalah masyarakat umum yang hadir beri sokongan kepada himpunan ini.

“Kita percaya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan adakan pertemuan kelak, kita percaya beliau lebih daripada 100 peratus, kita tengok nanti tetapi buat masa ini ianya telah dibatalkan,” katanya.

MGF24082019_TINJAUAN BRICKFIELDS SEMPENA DEMONSTRASI DR. ZAKIR NAIK04
Kawasan pekan Brickfields dipenuhi kenderaan semasa tinjaun lensa Malaysia Gazette. foto AFFAN FAUZI, 24 OGOS 2019

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Anwar menggesa penganjur membatalkan himpunan berkenaan kerana keadaan sudah reda susulan tindakan kerajaan.

Anwar berkata, tiada keperluan untuk menunjuk perasaan kerana polis sudah melarang penceramah kontroversi dari India itu berceramah di seluruh negara.

Sebelum ini, Zakir menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India di negara ini apabila mendakwa kesetiaan golongan ini lebih kepada Perdana Menteri India, Narenda Modi jika hendak dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, secara konsisten Zakir  menafikan perkara tersebut berkali-kali dengan menyatakan ucapan itu telah diambil luar daripada konteksnya malah bertindak menyaman beberapa pimpinan DAP berikutan perkara ini.

Selain daripada Zakir, perhimpunan ini juga bermatlamatkan isu lain seperti pengajaran seni khat Jawi di sekolah vernakular serta kemiskinan dan penindasan orang India di negara sejak sekian lama. –MalaysiaGazette