Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng menafikan dakwaan kononnya penubuhan jawatankuasa perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum projek pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak dimulakan.

Sebaliknya, menteri kewangan itu berkata, penubuhan empat jawatankuasa khas di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan dan pemantauan projek ini telah dilaksanakan sejak 19 Mac 2019.

Lantaran itu, Guan Eng menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg amat mengecewakan kerana ia menidakkan usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan dan menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Katanya, walaupun bayaran balik hutang daripada Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah hampir RM350 juta hanya diterima pada 8 Ogos 2019, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat pada 5 Ogos 2019 untuk membenarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan kerja awalan bagi pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Selanjutnya, pada 14 Ogos 2019, Kementerian Kewangan telah sekali lagi mengeluarkan surat kepada KPM memaklumkan bayaran oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah diterima dan meminta KPM untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak dapat disegerakan.

Malah, Kerajaan Persekutuan juga telah membuat pengecualian dalam meluluskan permohonan Kerajaan Negeri Sarawak supaya pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan supaya diberi keutamaan kepada kontraktor tempatan yang beroperasi di Sarawak.

Selain itu, pemilihan sekolah daif untuk dibaik pulih mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Susulan itu, KPM telah mengeluarkan Surat Kuasa Pelaksanaan Projek kepada pihak Ketua Pengarah Kerja Raya bagi membolehkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memulakan kerja-kerja awalan dengan kadar segera.

“JKR Sarawak juga telah mengenal pasti 7 buah sekolah yang dapat diiklankan tender pada 26 Ogos 2019 manakala baki 30 projek lagi dijangka akan ditender pada penghujung Oktober 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, Abang Johari menggesa Kerajaan Persekutuan memulakan kerja membaiki sekolah daif di Sarawak dengan segera.

Ketua Menteri Sarawak berkata, kerajaan negeri telah membayar RM350 juta seperti yang dikehendaki Kementerian Kewangan pada bulan lepas.

Bagaimanapun, Abang Johari mendakwa Guan Eng meminta supaya jawatankuasa tubuhkan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette