Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad diiringi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah (dua kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada Majlis Perjumpaan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Kementerian Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan memantau penyediaan makanan percuma kepada pelajar sekolah rendah yang akan dilaksanakan pada Januari depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan makanan yang dibekalkan selamat dimakan dan mengandungi nutrisi yang penting kepada pelajar-pelajar tersebut.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan tentukan dua aspek, satu keselamatan kepada makanan tersebut dan satu lagi penentuan nutrisi dan diet makanan. Itu daripada sektor KKM, dan aspek lain adalah daripada KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia),” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.

Dr Dzulkefly ditanya mengenai peranan KKM mengenai kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara akan disediakan sarapan percuma mulai Januari depan.

Dr Maszlee berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar-pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Menurut Dr Dzulkefly, KKM akan memantau polisi sebegini iaitu dalam proses penyediaan makanan, dan cara ia dihidangkan sebagaimana yang pernah dibuat menerusi kempen membekalkan susu 1Malaysia oleh kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac lalu berkata, kerajaan akan menggunakan hasil daripada cukai gula bagi menyediakan sarapan percuma dan sihat kepada pelajar-pelajar sekolah rendah di negara ini.

Dr Mahathir berkata, langkah itu bagi membolehkan kanak-kanak sihat dan bertenaga untuk memulakan sesi persekolahan. -MalaysiaGazette