Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah ketika hadir pada hari terakhir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes perbicaraan SRC International Sdn. Bhd. hanya menyatakan ‘tidak pasti’ dan ‘tidak tahu’ untuk setiap pertanyaan peguam bela.

Malah Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain ketika disoal ketua pasukan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak mengakui dirinya tidak jujur dalam memberi keterangan.

Shafee Abdullah yang melakukan soal balas akhir pada perbicaraan melibatkan penyewelengan RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak banyak bertanyakan tentang ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low.

Shafee: Adakah anda tahu Jho Low telah memastikan kenyataan kad kredit dan akuan bank tidak dihantar kepada Najib?

Rosli: Tidak setuju.

Shafee: Jho Low juga pastikan tidak ada apa-apa cek Najib tidak ditendang?

Rosli: Tidak setuju

Shafee: Seandainya cek-cek itu ditendang, anda setuju Najib boleh menyoal pegawai bank tentang perkara tersebut?

Rosli: Patutnya begitu, jika saya sendiri ada cek tendang, saya akan soal bank mengapa begitu.

Shafee: Jika Najib tahu ceknya telah ditendang, beliau akan tahu kedudukan tentang akuan beliau?

Rosli: Itu pendapat kamu.

Shafee: Tidak, saya tanya anda.

Rosli: Ya, jika semak dengan bank.

Shafee: Setujukah kamu Najib tidak tahu tentang kedudukan akaun bank beliau?

Rosli: Saya tidak tahu.

Shafee: Jho Low berharap Najib tidak tahu atau sedari segala aktiviti jenayah dan penipuan dilakukan berkaitan akuan peribadi beliau, Jho Low bersama-sama sekutunya?

Rosli: Saya tidak tahu pula.

Shafee: Jangan marah pada saya ya jika saya cakap ini tentang kamu ya.

Rosli: Tidak Tan Sri, saya tidak akan sesekali marah dengan kamu.

Shafee: Bhawa kamu tidak jujur dalam memberi sesetengah daripada keterangan kamu?

Rosli: Tidak sama sekali.

Saksi yang merupakan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain ketika hadir pada hari terakhir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2019

Terdahulu Shafee Abdullah juga bertanyakan seandainya SPRM mengesyorkan kepada peguam negara beberapa saksi pendakwaan dalam kes ini dikenakan pertuduhan pada 2015.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram bangkit segera membantah soalan itu sambil memberi peringatan peguambela tidak boleh membincangkan kandungan kertas siasatan kerana ia berada di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Selain itu, Shafee Abdullah juga bertanyakan tentang mendiang Timbalan Pendakwa Raya, Kevin Morais dalam penyiasatan SRC International bagaimanapun dinafikan oleh Rosli.

Selepas menjawab demikian, Muhammad Shafee cuba menyelidik seandainya Kevin pernah terlibat dengan penyiasatan 1MDB, mendiang dibunuh pada 2015.

Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah ketika hadir pada hari terakhir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2019

Muhammad Shafee juga cuba bertanyakan tentang khabar angin pembunuhan Kevin yang dikatakan berkait dengan kes tersebut juga jelas sekali satu penipuan kerana mendiang tidak terlibat seperti gambaran sebelum ini.

Bagaimanapun, sebelum saksi ke-57 dan terakhir itu sempat menjawab persoalan Shafee, Sithambaram sudah bangkit membantah.

Selepas berehat selama 30 minit, perbicaraan diteruskan untuk pemeriksaan balas pendakwaan terhadap saksi terakhir sebelum menutup kes pada hari ini. – MalaysiaGazette