KUALA LUMPUR – Perkhidmatan bas mini yang popular satu masa dahulu akan muncul semula di ibu kota mulai bulan depan selepas hampir 21 tahun dihentikan.

Perkhidmatan itu akan dikendalikan syarikat pengangkutan awam Rapid KL dengan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point menerusi Jalan Rasmi dari 1 September hingga 29 November.

Dalam satu kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata, bas mini itu yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

“Ini adalah sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami,” katanya.

Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima.

Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.

Diperkenalkan pada 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

“Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, kami akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain pula,” kata Muhammad Yazurin.

Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast