Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik berucap pada sidang media mengenai keputusan mesyuarat Kabinet berhubung isu tulisan khat yang dilaksanakan secara pilihan di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyediakan sarapan percuma buat semua pelajar sekolah rendah di seluruh negara bermula Januari depan menjadi bualan hangat netizen di media sosial.

Ternyata isu ini menjadi alat antara netizen untuk berperang sesama sendiri.

Umpamanya, seorang netizen, Aminahtul Marrdiah menerusi Twitter mengecam pihak yang menolak cadangan itu.

Menurut beliau, inisiatif baik daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ini dapat membantu jutaan pelajar yang datang ke sekolah dengan perut kosong.

“Tak berkemampuan. Kenapa pertikaikan sarapan percuma? For all you know, that effort could save a lot of hungry children at school.

“Benda baik tak payah jadikan isu. Tak perlu dipolitikkan. Our Society is so sick that food for our children has become the topic of membawang,” katanya di Twitter.

Pengguna Twitter, Shamira turut menyokong cadangan itu yang dilihat baik kepada ibubapa yang bekerja.

Ujarnya, sekiranya ada sarapan percuma di sekolah, ibubapa yang bekerja tidak lagi perlu bersusah payah untuk menyediakan hidangan sarapan kepada anak-anak mereka kerana sudah disediakan oleh pihak sekolah.

“Bagi aku sarapan percuma ni bagus sgt sgt. Ada org mak dia tak kerja so hari-hari boleh breakfast dkt rumah. Atau ada yang rumah dengan sekolah dekat so takyah rushing boleh makan mamak dulu ke apa,” ujar beliau.

Namun, ada Netizen memandang serong akan insiatif itu.

Menurut Muhamad Shahril, beliau berharap pihak kerajaan agar tidak hanya menyediakan roti dan susu soya kepada pelajar-pelajar untuk sarapan percuma.

“Sarapan percuma ni jangan jangan roti 90 sen dengan air soya je,” kata beliau.

Pelayar Twitter, Dya pula berkata, kepada yang tidak berminat untuk anak mereka mendapatkan sarapan percuma ini, lebih baik memberitahu kepada pihak sekolah kerana boleh mengelakkan pembaziran.

“Yang mana bantah tu, anggap je mereka tak berminat untuk anak-anak dapat sarapan percuma. Jangan lupa bagitau terang-terang kat pihak sekolah.

“Senang nak sediakan makanan pada yang memerlukan saja. At least tak membazir nanti,” komen beliau.

Tidak kurang juga yang memuji inisiatif ini.

Srideran Tamil Mogan pula berkata, niat murni kerajaan ini membolehkan pelajar-pelajar dibekalkan dengan nutrisi yang bagus untuk memulakan hari mereka.

“Sarapan percuma satu inisiatif yg bagus. takpe lah belanja berbillion utk kebaikan pelajar. Just hope, ada transparency dalamĀ  pemberian kontrak, cara berbelanja dan kualiti makanan,” gesa beliau.

“Tahniah Dr Maszlee. Usaha kerajaan memberikan sarapan percuma pada murid sekolah rendah perlu disokong! Moga dapat dipanjangkan pada sekolah menengah dan guru-guru juga,” puji Akmal Samudi.

Isu ini turut mendapat perhatian bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.

Beliau mahu tahu bagaimana program ini akan dilaksanakan dan kaedah bagi mencegah daripada berlakunya perkara tidak diingini kepada pelajar-pelajar sekolah.

“Kementerian Pendidikan sebut tentang sarapan pagi percuma bagi 2.7 juta murid sekolah rendah Malaysia.

“Kita hendak tahu cara program ini akan dilaksanakan untuk mencegah masalah-masalah seperti pembaziran, makanan basi dan pembekal yang tidak bertanggungjawab,” tulis beliau di Twitternya.

Isnin lalu, Dr Maszlee Malik berkata, inisiatif sarapan percuma ini diperkenalkan bagi memastikan pelajar-pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai hari ini berkata, Kementerian Pendidikan mampu meringankan perbelanjaan keluarga dengan memberi penjimatan kira-kira RM2.3 bilion kepada ibu bapa di Malaysia untuk menyediakan wang saku kepada anak mereka dengan pelaksanaan sarapan percuma ini. -MalaysiaGazette