Reaksi Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menerangkan bahawa kenyataan ‘pariah’ yang dikeluarkan beliau minggu lalu tidak khusus kepada sesiapa.

Perdana Menteri juga menegaskan perkataan itu langsung tidak merujuk kepada golongan India sebagiamana yang didakwa golongan itu.

“Saya tidak merujuk kepada sesiapa. Siapa yang saya rujuk?,” soal beliau.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjawab pertanyaan media mengenai satu laporan polis terhadap beliau oleh PKR Kapar kerana menggunakan perkataan “pariah” ketika mengulas isu Lynas Corporation.

Dalam laporan V Maneyvannan di Balai Polis Sungai Kapar, beliau membidas Dr Mahathir yang menggunakan perkataan itu yang didakwa mengguris hati masyarakat India.

Malah, Maneyvannan bersama tiga individu lain turut menuntut Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan menggesa ketua polis negara serta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

Pada Isnin lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, Lynas Corporation tidak boleh diminta keluar dari negara ini “seperti paria” kerana ia akan merosakkan pelaburan masa depan di Malaysia. -MalaysiaGazette