Dari kiri, Zafri Ab. Halim, Parihah Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Etiqa, Hamzah Alias ketika melancarkan secara rasmi 3 Produk Etiqa Takaful di Pekarangan Ar-Rahnu YaPEIM, Teluk Intan hari ini.

TELUK INTANĀ  – Kerjasama strategik antara Etiqa Takaful dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sejak tahun 2018 terus terjalin melalui penawaran tiga lagi produk baharu mampu dilanggan semua masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab. Halim berkata, ketiga-tiga jenis produk baru itu ialah Kumpulan Mutiara PIusTakaful, Takaful Flexi PA dan Takaful Cash Care PA.

Menurutnya, produk insurans itu mampu menyokong agenda meluaskan pelindungan takaful bagi semua kelompok rakyat terutamanya B40.

“Kami yakin penawaran produk mampu milik dan berbaloi dibelanjakan oleh kelompok rakyat akan memberi manfaat kepada 700,000 ahli termasuk pelanggan dan kakitangan YaPEIM dengan fokus segmen terbesarnya kelompok B40.

“Inisiatif ini antara usaha dan komitmen bersama Etiqa Takaful dan YaPEIM untuk terus memberi khidmat dan bantuan berbaloi kepada golongan sasar dengan jangkaan RM1 juta nilai premium mampu dikutip dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Tiga Produk Etiqa Takaful bersempena Jalinan Rakan Korporat Koperasi YaPEIM & Etiqa di pekarangan Ar-Rahnu YaPEIM di sini hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan, Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infaq & Pembangunan Sosioekonomi dan Pengurusan YaPEIM.

Sementara itu, Parihah berkata, dengan sejumlah 212 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM beroperasi di seluruh negara membolehkan kedua-dua pihak menyantuni penduduk di negara ini melalui tawaran produk yang kompetitif dan berbaloi dilanggan.

“Selain kemudahan dan produk pelbagai YaPEIM sentiasa komited sediakan akses perkhidmatan yang terangkum meliputi semua golongan rakyat di peringkat akar umbi.

“Secara keseluruhannya, sejumlah RM9.2 bilion Nilai Pembiayaan telah dikeluarkan oleh YaPEIM melibatkan sebanyak RM14 bilion Nilai Marhun Emas terkumpul,” katanya. – MalaysiaGazette