Dr. Mahathir mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan PH pada 21 Februari 2020 yang mencetuskan kontroversi kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi memberi jaminan akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan.

Presiden PKR itu, menurutnya, akan tetap menjadi penggantinya selepas beliau meletakkan jawatan.

“Saya buat janji, saya berpegang kepada janji saya.

“Apabila saya letak jawatan kelak, tentunya Anwar akan naik sebagai Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Yayasan al-Bukhary, hari ini.

Meskipun banyak dakwaan daripada parti pembangkang mengatakan beliau akan bertindak sebaliknya, namun Pengerusi Pakatan Harapan tersebut kekal dengan kenyataannya sebelum ini.

“Pembangkang kata saya tidak mungkin akan letak jawatan.

“Jangan risau, saya akan letak jawatan dan serahkan kepada Anwar untuk menggantikannya,”katanya lagi.

Semalam Tun M berkata, tiada jawatan kosong untuk Anwar itu dalam Kabinet memandangkan, tidak ada menteri yang ingin mengosongkan kerusi.

Spekulasi ini timbul kerana dikhabarkan akan berlaku pertukaran portfolio dalam kalangan menteri. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

Tiada yang lepaskan jawatan, jadi tiada kekosongan untuk Anwar – Dr Mahathir