KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) bagi penumpang antarabangsa, selain ASEAN yang menggunakan klia2 dan lapangan-lapangan terbang lain dikurangkan sebanyak RM23 kepada RM50.

Manakala, kadar PSC bagi penumpang sektor ASEAN dan domestik bagi semua lapangan di Malaysia masing-masing dikekalkan pada kadar RM35 dan RM11.

Kadar baharu PSC ini akan berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2019.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya berkata, bagi penumpang-penumpang yang telah membuat pembayaran PSC dan telah membuat penerbangan mulai tarikh tersebut, tuntutan bayaran balik boleh dibuat daripada syarikat penerbangan yang berkenaan.

Katanya, pengurangan ini diharap akan dapat membantu merancakkan sektor pelancongan di negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, disamping menarik lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di lapangan-lapangan terbang
seluruh negara.

Pengurangan kadar PSC ini boleh dilaksanakan oleh kerajaan melalui kaedah kontra User Fee.

Malah, kerajaan pada masa yang sama akan terus menerokai beberapa model kewangan seperti pengenaan Regulated Assets Based (RAB) serta model-model pembiayaan yang lain dari semasa ke semasa bagi pembiayaan projek-projek
pembangunan lapangan terbang, tambah kementerian itu. – MalaysiaGazette