Penyanyi baharu, Zynakal.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer baharu yang dikenali Zynakal didenda sebanyak RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ampang atas kesalahannya mencederakan seorang pekerja warga Bangladesh dan menghalang tugas polis di sebuah stesen minyak Rabu lalu.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman terhadap Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 21, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibaca terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama iaitu mendatangkan kecederaan tertuduh didenda sebanyak RM800, manakala untuk pertuduhan kedua tertuduh didenda RM2,000.

Mahkamah turut memerintahkan, Zynakal yang popular dengan lalu Terbang itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut dan tertuduh membayarnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap lelaki warga Bangladesh Ahmad Mostak yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam seorang anggota polis Lans Koperal Muhammad Safuan Amiruddin dengan tidak menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan.

Sebelum ini kecoh di media sosial yang mendakwa penyanyi dan komposer baharu yang terlibat dalam insiden itu adalah Haqiem Rusli. – MalaysiaGazette