Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan komited memastikan sejumlah RM43,023,748.31 (faedah) hutang SRC International Sdn Bhd (SRC) kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dibayar pada 30 September ini.

Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada baki pembiayaan sebanyak RM3,807,858,447.99 yang akan berakhir pada tahun 2022.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi
menyelesaikan pembiayaan berkenaan kepada KWAP, sungguhpun Kerajaan Persekutuan terdesak dalam aspek fiskal untuk menguruskan beban kewangan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Katanya, sejak tahun 2015, Kementerian Kewangan komited dalam memastikan obligasi pembayaran dipenuhi dan sentiasa mematuhi jadual pembayaran balik kepada KWAP agar tidak berlakunya kegagalan pembayaran balik pembiayaan serta kepentingan KWAP dan pesara terus terjamin dilindungi.

Jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi pihak SRC adalah sebanyak RM1,691,822,628.05.

Daripada jumlah berkenaan, pembayaran terkini yang dibuat adalah pada 29 Ogos 2019 iaitu sebanyak RM344,681,265.07 yang merangkumi RM300 juta prinsipal dan faedah sebanyak RM44,681,265.07, ujarnya.

SRC telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada KWAP pada 26 Ogos 2011 (pinjaman pertama berjumlah RM2.0 bilion) dan 27 Mac 2012 (pinjaman kedua yang berjumlah RM2.0 bilion) yang dijamin penuh oleh Kerajaan Persekutuan.

Memandangkan pembiayaan berkenaan dijamin oleh kerajaan dan bagi mengelakkan kejadian keingkaran pembayaran balik pinjaman adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mematuhi jadual pembayaran balik pembiayaan berkenaan.

SRC International Sdn Bhd (SRC) telah ditubuhkan sebagai anak syarikat kepada 1MDB pada 7 Januari 2011 dengan objektif untuk mengenal pasti dan melabur dalam projek yang berkaitan dengan cari gali, pengekstrakan, pemprosesan dan perdagangan sumber tenaga konvensional dan sumber asli diperbaharui dan mineral
termasuk memperoleh dan memegang saham, stok atau sekuriti syarikat.

Guan Eng dalam kenyataan itu berkata, pegangan saham SRC telah dipindah milik kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) pada 15 Februari 2012 dengan kaedah pengambilalihan saham melalui bayaran interim dividend-in-specie.

Malangnya SRC juga terlibat secara langsung dalam skandal penyelewengan kewangan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan tanpa didedahkan kepada orang awam.

Merujuk kepada skandal kewangan yang dihadapi SRC, syarikat berkenaan telah mengalami situasi kewangan yang kritikal sejak tahun 2015, sehingga menyebabkan ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran pembiayaan dengan KWAP. – MalaysiaGazette