Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Kempen memboikot barangan bukan Muslim sudah pasti akan menggusarkan perasaan beberapa pihak.

Namun ia bukannya satu kempen yang baik kerana memboikot barangan bukan Islam bukannya seruan yang bijak.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sejak kebelakangan ini terdapat perbuatan dan sikap sesetengah bukan Muslim telah menyebabkan umat Islam merasai bahkan meyakini ‘madu dibalas tuba, penawar dibalas racun’ yang menjurus kepada pengwujudan kempen seumpama itu.

Mufti Perlis itu yang menyifatkan kempen memboikot barangan bukan Muslim itu sebagai tidak bijak itu percaya terdapat kempen yang lebih baik iaitu dengan membantu ekonomi sesama Muslim.

“Dalam erti kata lain, kita berusaha dengan pelbagai cara menguatkan ekonomi sesama kita. Ekonomi merupakan kuasa penting kekuatan sesebuah masyarakat,” katanya dalam laman Facebook milik beliau.

Menurut Mufti Perlis itu, golongan anti-Muslim memandang lekeh kepada masyarakat Islam jika ekonominya lemah dan mereka hendaklah berikhtiar membantu apa yang termampu dalam mencapai misi itu.

Tambah beliau, antaranya membeli dan mengutamakan produk Muslim, berkongsi kepakaran sesama Muslim dalam bidang ekonomi selain tolong berkempen barangan Muslim serta mencari ruang supaya hasil produk dan peniagaan dapat ditingkatkan.

Berikutan produk Muslim tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan pada masa kini, katanya adalah sangat sukar untuk kempen memboikot itu akan berjaya.

Katanya, ini kerana orang Islam masih bergantung kepada sumber produk bukan Muslim.

“Maka kempen yang patut ketengahkan ialah ‘bersama mengukuhkan ekonomi muslim’. Apatah lagi realiti yang ada dengan sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah pihak amat menuntut agar ekonomi masyarakat Islam diperkukuhkan.

“Keadaan ekonomi umat Islam agak ketinggalan secara perbandingan. Mungkin kita mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi, disebabkan jumlah kita di negara ini.

“Malangnya, kita bukan peniaga, apatah lagi sebagai pengeluar. Kita sekadar pembeli dan pengguna dalam banyak hal. Hal ini perlu diatasi. Kuasa membeli kita mesti dimanfaatkan,” ujar beliau.

Menurut Mohd Asri, perlu disedari pengeluaran sebahagian produk keperluan merupakan fardu kifayah dalam menyelamatkan keperluan dan maruah umat Islam.

Katanya, membeli dari peniaga Muslim sebagai usaha memperkukuhkan kuasa ekonomi umat Islam pastinya merupakan langkah yang memastikan fardu kifayah dilaksanakan. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. sebenarnya, kempen buy muslim first (BMF) ni secara asasnya memang baik, terutamanya demi ekonomi sesama muslim yang jauh ketinggalan dengan masyarakat selainnya, padahal mereka adalah komposisi terbesar dalam masyarakat di malaysia..

    namun, yang menjadi masalah apabila kempen boikot produk non-muslim turut berlangsung dikala suara2 kempen BMF ini kuat kedengaran, menyebabkan kempen BMF ini kelihatan “jahat”, cacat dan tidak mencapai maksudnya yang sebenar..

    lebih2 lagi, seruan BMF ini diselangselikan pula dengan seruan asobiyyah, seruan membenci dan anti-non-muslim, disekalikan dengan seruan bersifat partisan atau pro parti2 politik tertentu dan anti parti2 politik tertentu, sehingga mengeruhkan hubungan umum antara sesama warganegara yang berbilang kaum dan anutan agama..

    itu yang saya nampak..
    dan itu sebab saya prejudis dan skeptikal dengan kempen BMF ini..

Comments are closed.