Jabatan Alam Sekitar
JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri akan memantau kualiti udara di 12 buah sekolah sekitar kawasan Pasir Gudang dalam usaha memastikan keselesaan murid yang akan mula menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata, pemantauan kualiti udara sebanyak dua kali itu akan diadakan pada setiap hari (pagi dan malam) sepanjang musim peperiksaan sehingga 11 Sept ini.

“Langkah yang dilaksanakan sepanjang berlangsungnya UPSR bermula esok adalah untuk memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan dan keselesaan murid yang mendudukinya,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Tan turut menyertai pasukan JAS Johor di Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, pagi ini bagi melihat sendiri persediaan dan bacaan terkini kualiti udara di sekitar kawasan berkenaan menggunakan alat pengesan gas yang berfungsi mengukur kualiti udara.

Seramai 2,175 calon akan menduduki UPSR di sekitar kawasan Pasir Gudang. – MalaysiaGazette