Allahyarham Tun Siti Hasmah

KUALA LUMPUR – Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pagi ini meninggalkan rasa dukacita kepada mereka yang mengenali sumbangan beliau dalam bidang kesihatan, kebajikan masyarakat dan khidmat kepada negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong melahirkan rasa sedih menerima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah yang telah mendedikasikan sebahagian besar hidupnya untuk berbakti kepada negara.

“Selain sumbangan besar sebagai seorang doktor dan tokoh negara, beliau turut dikenang dengan sifat keperibadiannya yang lemah lembut, berhemah, rendah hati serta memiliki ketabahan yang dikagumi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong

“Jasa dan pengorbanan Allahyarhamah dirasai ramai rakyat Malaysia.

“Beliau akan sentiasa dikenang dengan penuh rasa hormat dan kasih sayang oleh kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ka Siong turut merakamkan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarganya.

“Semoga ahli keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan di saat kesedihan ini.

“Semoga dipermudahkan segala urusan dan rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir dan keluarga atas kehilangan isteri tercinta.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran

Beliau menyifatkan Siti Hasmah sebagai wanita yang penuh kelembutan, bermaruah dan penyayang, selain berkhidmat kepada negara dengan penuh dedikasi sepanjang hayatnya.

“Jasa dan legasi beliau akan terus dikenang serta dihargai oleh rakyat Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Vigneswaran turut mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan itu.

“Dalam saat yang amat mendukacitakan ini, semoga Tun Dr. Mahathir dan seluruh keluarga dikurniakan kekuatan, ketabahan serta ketenangan.

“Semoga kenangan indah bersama Allahyarhamah menjadi pengubat duka buat mereka.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat,” katanya.

Allahyarhamah dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here