Bekas Pengarah Urusan Syarikat FELCRA Training and Consultancy Sdn Bhd, Rohaizat Ahmad hadir di mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan RM1.648 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah urusan anak syarikat FELCRA Berhad hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini membabitkan 33 pertuduhan penyelewengam dan salah guna kuasa melibatkan RM1.648 juta.

Tertuduh Rohaizat Ahmad 54, yang merupakan bekas Pengarah Urusan Syarikat Felcra Training and Consultancy Sdn.Bhd. didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Rohaizat yang kelihatan tenang di kandang tertuduh dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di pejabatnya beralamat Felcra Training &Consultancy Sdn.Bhd. di no 22 Jalamn Rampai Niaga, 4, Rampai Business Park, Kuala Lumpur antara April 2014 hingga Jun 2018.

Kesemua 33 kertas pertuduhan keatasnya dibacakan dihadapan Hakim Azura Alwi oleh dua jurubahasa selama 25 minit bermula 11.15 pagi tadi.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan itu dan memohon mahkamah supaya dibicarakan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mahadi Abdul Jumaat manakala Peguambela Hamidi Mohd Nor dan Aiman Abdul Rahman.

Mahadi meminta mahkamah supaya tertuduh diikat jamin dengan wang jamin berjumlah RM150,000 untuk kesemua 33 pertuduhan itu dengan seorang penjamin dan tertuduh menyerahkan pasport perjalanan kepada mahkamah dan melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguambelanya Hamidi bangun merayu mahkamah supaya wang jaminan terhadap anakguamnya dikurangkan kepada RM50,000 memandangkan jumlah tuntutan pendakwaraya agak tinggi,

“Puan hakim, tertuduh dia tampil ke mahkamah hari ini dan bekerjasama sepanjang tempoh reman setahun yang lalu selain bersedia untuk melapor diri di SPRM sehingga kes selesai.

“Selain itu jumlah pendapatan tertuduh hanya sekitar RM8,000 hingga RM9,000 bukannya berkemampuan memiliki perniagaan besar selain bukan ahli politik juga.

“Dengan pendapatan biasa dia mempunyai tanggungan rawatan untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi selain empat daripada enam anak masih ditanggung pengajian tinggi dan sekolah.

Bagaimanapun, Mahadi sekali lagi mencelah dan memaklumkan bahawa wang jaminan yang dicdangkan awal iaitu RM150,000 memadai untuk 33 pertuduhan yang dihadapi Rohaizat dan merayu cadangan itu dikekalkan.

Azura setelah mendengar hujah kedua dua peguam membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin selain diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM setiap bulan.

Azura kemudian menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.- MalaysiaGazette