Pengerusi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar hadir pada Majlis Ikrar Siswa Siswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 05 SEPTEMBER 2019

BANGI – Polisi pendidikan yang sempurna membantu golongan susah untuk berjaya.

Demikian kata Pengerusi Universiti Kebangsaan malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar yang mengimbau bagaimana dirinya yang datang daripada keluarga susah telah berjaya pada hari ini disebabkan sistem pendidikan dalam negara.

Namun katanya, usaha pelajar juga perlu seiring dengan sistem pendidikan yang terbaik.

“Saya datang daripada keluarga yang susah, Alhamdulillah dengan polisi-polisi kerajaan yang memberikan pendidikan yang sempurna kepada kita semua supaya mereka-mereka yang daripada keluarga susah dapat mengeluarkan keluarga daripada kancah kemiskinan.

“Apa yang saya nak tekankan sekiranya kita berusaha dengan gigih, kita bersama-sama dnegan rakan-rakan yang lain memimpin sesebuah organisasi secara bermatlamat dan kita mengamalkan semangat berpasukan, insyAllah apa juga cabaran kita hadapi kita boleh berjaya,,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ikrar Siswa-Siswi UKM Sesi Akademik 2019/2020 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Untuk rekod, Abdul Wahid merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi pada 2013 hingga 2016.

Anak kesembilan daripada 11 orang adik-beradik daripada Johor Bharu itu pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Pengarah Urusan United Engineers Malaysia Berhad dan UEM World Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad.

Selain itu beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Tambah Abdul Wahid, negara kini mengalami kebanjiran graduan yang berlumba-lumba antara satu sama lain untuk mendapatkan pekerjaan.

Ujarnya, meraka yang berjaya menembusi dunia pekerjaan sudah tentu akan dinilai daripada keputusan akademik dan kemampuan menghadapi cabaran.

“Dapatkan Kelas Pertama, kalau tidak kedua. Buat yang terbaik. Manfaatkan empat tahun untuk berusaha,” ujarnya.-MalaysiaGazette