Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

KUALA LUMPUR –  Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dilantik sebagai Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa 10 Ogos, 2019.

Sebelum pelantikan itu, beliau merupakan timbalan ketua pengarah lembaga (penyelidikan dan pembangunan),

MPOB dalam satu kenyataan hari ini berkatam Ahmad Parveez memiliki pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri sawit dengan kepakaran dalam bidang biologi molekul tumbuhan, kejuruteraan genetik dan biokeselamatan.

Dalam bidang saintifik, beliau membangunkan sawit transgenik dan mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara. Beliau telah memfailkan 15 paten dan mengarang atau mengarang bersama lebih daripada 80 kertas kerja yang diterbitkan dalam jurnal dirujuk dan lebih daripada 250 kertas kerja persidangan.

Selain itu, beliau dilantik sebagai felo Akademi Sains Malaysia pada 2016 dan merupakan ahli Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (2018 – 2021).

Ahmad Parveez juga aktif dalam pelbagai persatuan profesional termasuk sebagai presiden International Society for Oil Palm Breeders dan pengerusi American Oil Chemists’ Society Asian Section.

Pada 1 Julai, 2019, beliau dilantik menganggotai lembaga pemegang amanah Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia.

Beliau merupakan bekas pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pengubahsuaian Genetik di bawah Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (2010 – 2018). – MalaysiaGazette