Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Kerajaan memperkenalkan satu inisiatif baharu iaitu Program Pembangunan Strategik Industri Halal atau be-Halal di bawah Sekretariat Majlis Halal Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan menggunakan Halal Fiesta Malaysia (Halfest) sebagai platform, be-Halal merupakan inisiatif bagi memacu pertumbuhan industri halal melalui program pembangunan holistik di kalangan pemain industri halal di negara ini.

Menurut beliau, inisiatif itu mampu bersaing secara produktif dan inovatif dalam mendepani pelbagai cabaran global, baik dalam industri halal mahu pun dunia perdagangan yang mencabar.

“Untuk permulaan, seramai 50 pemain industri halal akan dipilih menyertai program be-Halal oleh sekretariat.

“Para peserta be-Halal akan dibangunkan melalui program yang dikendalikan oleh pakar dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada peningkatan industri halal negara.

“Menjadi salah satu impian dan cita-cita saya apabila menerajui Majlis Halal Negara untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti industri halal negara ke peringkat yang lebih berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Halfest 2019 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Pameran Mines (Miecc), Seri Kembangan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata, Halfest sebenarnya dekat di hati beliau.

Ujar beliau, festival tahunan itu merupakan salah satu platfom yang penting bagi mempromosi produk dan perkhidmatan halal di Malaysia.

Tambahnya melalui Halfest, syarikat-syarikat dan institusi-institusi yang terlibat mampu mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka yang halal atau patuh syariah kepada umum.

“Saya percaya industri halal negara berada pada landskap yang betul dan boleh dibawa ke tahap yang lebih membanggakan.

“Semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi yang terbabit dalam industri halal mestilah bersama terlibat bagi membawa industri halal di Malaysia ini ke tahap seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette