Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Melaka bakal mempunyai Ketua Polis negeri yang baharu dengan pelantikan DCP Datuk Mat Kasim Karim ke jawatan itu berkuatkuasa 7 Oktober ini.

Buat masa sekarang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Kedah.

Arahan pertukaran melibatkan beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuatkuasa pada tarikh berkenaan yang dimaklumkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Pertukaran lain melibatkan Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, DCP Datuk Muhammad Azlee Abdullah yang bakal menjadi Timbalan Ketua Polis Kedah.

Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, SAC Datuk Arjunaidi Mohamed pula akan menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor dengan memangku pangkat DCP.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Melaka, Supt A Asmadi Abdul Aziz akan memegang jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak dengan memangku pangkat ACP manakala Supt Urusetia Bahagian Urusetia, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif akan bertukar menjadi Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan dengan memangku pangkat ACP.

Arahan pertukaran itu turut menyaksikan Setiausaha Majlis Sukan PDRM cawangan keselamatan/sukan/rekreasi Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan, Bukit Aman, Supt Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi akan bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur dengan memangku pangkat ACP.

Pertukaran lain melibatkan Ketua Polis Daerah Besut, Terengganu, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi yang akan memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kelantan.

DSP Suzaimi Mohamad, yang kini bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Kelantan akan memegang jawatan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Kelantan.

Turut terlibat dalam pertukaran itu DSP (D14) Siasatan Jenayah Terancang 2, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, DSP Azari Miskon yang akan menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Rompin, Pahang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lipis, Pahang, DSP Mohd Zain Mat Dris pula akan menjadi Ketua Polis Daerah Marang, Terengganu. – Bernama