Pengerusi Persatuan Islam, Osman Abu Bakar bercakap pada sidang media berhubung isu situasi & impak terkini terhadap kempen utamakan produk buatan muslim, kuasa pembeli dan bagaimana memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi rakyat di Restoran Syed Nabi, Sri Gombak, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 07 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Menyifatkan sokongan terhadap Kempen Beli Produk Bumiputera-Muslim Dahulu (BMBF) sebagai rasis, pemimpin dan ahli DAP disarankan menjalani kursus Bahasa Melayu semula.

Menurut Pengerusi Persatuan Saudara Islam Kuala Lumpur dan Selangor, Osman Abu Bakar, parti itu dilihat tidak faham dengan promosi terhadap kempen itu meskipun ia tidak bermaksud produk bukan muslim diboikot.

Sebagai pengguna, orang Islam juga tambahnya mempunyai hak membeli produk muslim malah ia sama sekali tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Orang Islam di Malaysia, bukan hanya Melayu Islam tapi Cina Islam ada India Islam ada, kami orang Islam ada hak nak memilih barangan daripada siapa, kami ada hak nak beli produk orang Islam. Ini hak kami tidak ada hak sesiapa yang boleh mempertikaikan.

“Apabila kami orang Islam menggunakan hak kami beli barang Islam tidak menyalahi undang-undang di Malaysia dan tidak menyalahi perlembagaan.

“Kalau tak faham bahasa Malaysia kami boleh tawarkan kursus percuma kepada semua pemimpin, anggota dan Ahli Parlimen DAP kursus Bahasa Melayu. Percuma tak payah bayar satu sen,” katanya ketika sidang media di Batu Caves hari ini.

Pendirian sokongan NGO Islam terhadap kempen BMBF tambahnya sama sekali tidak menjurus kepada isu perkauman.

“Kami tetap hormat kaum-kaum lain. Sebab kami bergerak ke arah keamanan, perpaduan sesama kaum/

“Kami tiada niat pun nak boikot hak orang bukan Islam di negara ini,” katanya.

Justeru pemimpin DAP dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan kenyataan melabel Melayu Islam yang menyokong kempen ini sebagai rasis dan pelbagai lagi kata-kata mengguris perasaan.

“Cukuplah, tak payah nak usik perasaan hak prngguna Islam. Kami menggesa pimpinan parti DAP hentikan mengeluarkan kenyataan orang Islam di Malaysia dengan pelbagai label,” ujarnya.

Selain Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menganggap gerakan kempen BMBF sebagai tidak waras, Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim juga menganggap ia sebagai tindakan tidak sepatutnya dilakukan.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula berkata, ia menjejaskan keharmonian.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, ia tindakan cetek, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyifatkan kempen boikot berkenaan sebagai langkah yang tidak sihat. – MalaysiaGazette