Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertukar daripada suasana tenang menjadi tegang seketika hari ini.

Ini kerana ketika sesi soal balas antara saksi ke-8, Datuk Amhari Efendi Nazruddin dengan ketua pasukan peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas pegawai Najib itu diasak kerana keterangan tidak konsisten olehnya.

Shafee Abdullah menyoal mengapakah sesetengah jawapan yang diberikan olehnya ketika keterangan sejak beberapa hari ini bercanggah dan tidak konsisten walhal isunya tetap sama.

Antaranya, penyataan saksi bertulis olehnya dan ketika di soal secara lisan terdapat percanggahan walaupun soalannya berkisar topik sama.

“Mengapa ada jawapan bertulis kamu di beberapa perenggan seperti 17 dan 25 seperti tidak konsisten tentang tindakan kamu serta arwah Datuk Azlin Alias meyemak dengan Datuk Najib terlebih arahan Jho Low?

“Ada jawapan kamu seperti ‘ada masanya’, ‘bila perlu’, yang mana satu sebenarnya? Mengapa jawapan kamu tidak konsisten? Saya hanya sekadar bertanya kepada kamu tentang apa yang kamu tulis Amhari,” soal Shafee Abdullah.

Amhari yang juga merupakan bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) kelihatan terkedu sampai meminta beberapa kali soalan-soalan untuk diulang semula sambil bertanya manakah bahagian yang tidak konsisten itu.

Adakalanya Amhari juga mengambil masa begitu lama sehingga hakim, Collin Lawrence Sequerah juga mengulangi soalan Shafee.

Shafee  juga bertanyakan kepada Amhari tentang dakwaan Jho Low dilantik oleh Najib sebagai penasihat tidak rasmi dan secara sulit.

Kemudian Shafee mencadangkan bahawa Amhari tidak dapat memberikan kenyataan secara konsisten kerana ada perkara yang didakwa olehnya tidak benar dan jujur namun sekali lagi bekas pegawai itu menidakkan cadangan tersebut.

Shafee: Anda kata beliau adalah penasihat tidak rasmi, ada surat tak untuk buktikan ianya?

Amhari: Saya tidak pasti, rasanya tidak ada.

Shafee: Secara sulit kepada Najib? Ada bukti lantikan ini secara sulit?

Amhari: Bukan, maksud saya ialah seseorang yang rapat, bila saya katakan unofficial adviser bermakna tidak ada surat.

Shafee: Jadi tidak ada suratlah?

Amhari: Ya

Shafee: Bagaimana pula dengan maksud lantikan secara sulit?

Amhari: Jho Low adalah salah seorang yang boleh rapat dan boleh menasihati, di lakukan secara sulit kerana tidak ramai tahu.

Shafee: Tapi ini adalah apa yang kamu katakan, tidak perlu jelaskan sesuatu yang baharu.

Amhari: Lantikan tidak rasmi tidak ada surat, sulit pula kerana tidak rasmi, perbincangan itu secara rahsia, Jho Low adalah yang mampu rapat dan berbincang dengan Najib tanpa tidak ramai yang tahu. Itu adalah sulit.

Shafee: Tapi ramai juga tahu termasuk Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Amhari: Tidak betul, tidak ramai tahu. Hanya pegawai kanan sahaja tahu tentang Jho Low tentang perbincangan itu.

Shafee: Ayat kamu tidak betul. Jawatan yang kamu katakan itu seolah-olah mengatakan Jho Low telah dilantik secara sulit.

Shafee: Anda setuju sebagai Perdana Menteri, beliau boleh lantik sesiapa sahaja secara sulit?

Amhari: Boleh.

Shafee: Tolong jelaskan maksud ‘pencatur’? Pelbagai maksud boleh ditafsirkan dengan maksud ini.

Amhari: Pencatur dalam konteks merancang dan menyusun sesuatu perkara, juga kadang-kadang rancang strategi.

Shafee: maksudnya seorang perancang?

Amhari: Benar

Shafee: Adakah kamu katakan Jho Low adalah pencatur politik Najib?

Amhari: Memang saya dengar daripada Jho Low sendiri.

Shafee: Itu yang saya mahu dengar dari kamu, kamu dengarnya seperti pencatur politik, G to G, perancang pelaburan dan sebagainya semuanya daripada Jho Low sendiri? Pernahkah Perdana Menteri sendiri cakap begitu kepada anda?

Amhari: Tidak pernah.

Shafee: Saya terpaksa tanya balik kerana anda cakap tentang banyak perkara juga mengikut persepsi kamu. Tapi kini keterangan anda berbeza pula, contohnya seperti ini.

‘saya tidak persoal arahan tersebut namun ada kalanya dan bila perlu, Datuk Azlin atau saya bertanya kepada Najib tentang arahan tersebut’.

Amhari: Yang mana ini?

Shafee: Takpe, kita pergi balik kepada kenyataan pagi tadi yang nampak bercanggah dengan kenyataan saksi terdahulu. Perenggan 17 dan 25 dalam kenyataan saksi bertulis kamu.

‘Saya pasti arahan-arahan tersebut kebanyakan telah di sampaikan dan dipersetujui oleh Najib sendiri. Pada kebanyakan masa, kami semak semula dengan Najib tentang arahan Jho Low kepadanya.

Ini nampaknya berlainan dengan apa yang kamu cakap ketika soal balas.

Shafee: Adakah pembukaan bank BSI Switzeland itu kecil pada pandangan anda? Bawah nama kamu, nama syarikat tertentu di Singapura perkara kecil sehingga anda tidak perlu Najib terlebih dahulu selepas mendapat arahan Jho Low?

Untuk seketika Amhari hanya mendiamkan diri sebelum menjawab ‘tiada komen’.

Shafee: Bila kamu beri kenyataan kepada SPRM, kamu dan Azlin mengakui tentang  ‘akan semak kepada PM Najib arahan-arahan Jho Low?

Amhari: Ya betul.

Shafee: Jawapan-jawapan kamu sangat tidak konsisten, saya cadangkan anda sebenarnya tidak jawab dengan jujur dan mahu memerangkap anak guam saya. Oleh yang demikian, anda telah diberikan ganjaran sebanyak AS$ 1 juta. Iaitu, AS$800,000 kemudian AS$200,000 diberikan oleh Jho Low yang kamu kata sebagai pinjaman.

Amhari: Tidak bersetuju.

Perbicaraan akan bersambung esok pukul 9.30 pagi. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast