KUALA LUMPUR – Sebuah karnival terbesar di Selangor akan diadakan bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan berlangsung di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jeram, Bandar Puncak Alam, pada 27 hingga 29 September depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Shaid Rosli berkata, program selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Katanya, ia diadakan sebagai merapatkan hubungan penduduk pelbagai agama kaum bangsa di sekitar Jeram selain mengukuhkan perpaduan, menyemai semangat harmoni dan meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dalam bentuk komuniti yang dahagakan kemajuan dan pembangunan.

“Kita menyasarkan kehadiran orang ramai, pelajar, belia, peniaga tempatan, usahawan muda, peminjam TEKUN, Hijrah dan AIM yang kesemuanya dianggarkan lebih daripada 100,000.

“Pada progran itu jabatan dan agensi kerajaan akan turut memberikan perkhidmatan kepada pengunjung seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, FAMA, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Majlis Daerah Kuala Selangor dan Smart Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shaid berkata, menerusi penganjuran itu beliau berharap keharmonian dan perpaduan baik di DUN Jeram dan seluruh negara terus mekar serta bertambah kukuh dengan merapatkan jurang antara masyarakat untuk dapat hidup aman dan selesa sambil menolak fahaman yang ekstrem.

Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung program berkenaan diminta menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jeram di talian 03-3396 0036. – MalaysiaGazette