KUALA LUMPUR – Bimbang dengan tahap jerebu dan kualiti udara yang semakin menurun terutamanya di Lembah Klang, Kumpulan Prolintas mengedarkan sejumlah 3,500 helai topeng muka secara percuma kepada pengguna lebuh raya.

Prolintas adalah pemegang konsesi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Kajang SILK (SILK).

Selain pengedaran kepada pengguna lebuh raya Prolintas, sejumlah penutup muka turut diedarkan kepada pelajar dan guru sekolah berhampiran dengan Lebuhraya AKLEH iaitu Sekolah Kebangsaan Ampang dan Sekolah Kebangsaan Jalan U3 Taman Subang Perdana yang terletak berhampiran dengan tapak pembinaan Lebuhraya DASH.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (Projek dan Operasi) Prolintas, Ir. Rostam Shahrif Tami, pengedaran topeng muka kepada pengguna telah bermula pada Khamis lalu.

“Ini merupakan di antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat Prolintas yang merangkumi pelbagai aspek seperti pendidikan, penjagaan alam sekitar dan pembangunan insaniah di sepanjang tahun.

“Dengan adanya aktiviti sebegini ianya dapat mengurangkan risiko pencemaran udara sekaligus menyumbang tahap kesihatan yang baik,” tambah Rostam. – MalaysiaGazette