Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin diiringi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pra Pelancaran Asia Pacific Urban Forum 7 (APUF7) di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Pulau Pinang dipilih menjadi tuan rumah Forum Asia-Pasific Ke-7 (APUF7) yang akan berlangsung pada 15 Oktober ini selama tiga hari.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, negeri itu dipilih kerana pihaknya mahu menonjolkan inisiatif oleh Pulau Pinang yang ke depan dalam penyelesaian isu bandar, masalah perumahan rakyat dan komuniti, pengangkutan awam, alam sekitar dan kemampanan.

Jelas beliau, inisiatif itu merupakan keperluan dalam pelaksanaan tempatan iaitu Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) atau SDGs dan Agenda Perbadaran Baharu (NUA) dalam bandar atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Dianggarkan seramai 7,000 peserta yang akan menghadiri APUF7 daripada 60 negara di bawah Asia Pacifik.

“Secara keseluruhannya, APUF7 akan mengendalikan lebih 80 sesi bersekali dan membincang empat topik utama selain turut diadakan majlis perasmian Konvensyen Pemerkasaan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran Forum Asia-Pasific Ke-7 (APUF7) di kementeriannya di sini hari ini.

Zuraida menambah, Konvesyen Pemerkasaan PBT diadakan sekali dengan APUF untuk memastikan bahawa Pentadbir Bandar, Ahli Majlis di PBT dan lain-lain profesional kakitangan dapat mempelajari sesuatu hasil daripada perkongsian pengetahuan oleh penceramah-penceramah dari dalam dan luar negara.

“Ia juga bertujuan menjalinkan kerjasama (networking) dan melihat perbandaran inisiatif dan menyelesaikan isu bandar dari luar negara dan penanda aras,” katanya.

Sementara itu, majlis perasmian APUF7 dan Kovensyen Pemerkasaan Pakan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 Oktober ini.

Tema penganjuran APUF7 adalah ‘Masa Depan Bandar Asia dan Pasifik: Laluan Transformatif Bagu Mencapai Agenda 2030 Untuk Pembangunan Mapan.

Sejak 1993, APUF telah menghimpunkan para pentadbir bandar, mereka yang terlibat dalam membuat dasar daripada kerajaan tempatan dan nasional, institusi kewangan, akar umbi serta masyarakat awam dan sektor swasta untuk membahaskan dan mempromosikan penyelesaian inovatif kepada cabaran pembangunan bandar paling kritikal di rantau ini. – MalaysiaGazette