Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dr. Rosli Yaakop (dua kanan) diiringi Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan (kanan) dan Naib Canselor Kolej Antarabangsa PICOMS, Prof. Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman (tiga kanan) berbual mesra dengan sebahagian pelajar Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS pada Program Foodbank YaPEIM 1.0 : Sumbangan Makanan Ready To Eat di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS Kampus Batu Muda, Batu Caves, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Orang Islam dalam negara tidak akan dapat maju ke hadapan dan bertahan sekiranya memboikot produk bukan muslim.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Dr. Rosli Yaakop menyifatkan usahawan  Islam dan bukan Islam saling bergantung dalam mengeluarkan produk.

Justeru Rosli berkata, tidak wajar bertindak memboikot produk bukan Islam.

“Ada juga barang orang bukan Islam yang muslim tidak keluarkan kereta, telefon bimbit, jadi boikot bukan termonologi yang sesuai untuk kita galakkan pembangunan usahawan Islam.

“Kalau kita nak boikot produk bukan Islam kita tidak boleh survived,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Majlis Sumbangan Makanan Ready To Eat yayasan itu di Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) Kampus Batu Muda hari ini.

Mengakui mengutamakan produk muslim adalah tindakan baik dan wajib dalam kalangan penganutnya selain dapat membantu perkembangan ekonomi Islam, namun ujar beliau, ia konsep yang tidak sepatutnya dilihat sebagai susaha untuk memboikot produk lain.

Apatah lagi jika ia dijadikan sebagai modal mencetuskan isu perkauman.

“Kita tak boleh pandang ekonomi negara hanya untuk memenuhi keperluan orang Melayu. Tidak akan bawa ke mana sebab dalam ekonomi ada sistem input output ada benda kita boleh buat ada yang orang lain boleh buat itu memang sistem ekonomi.

“Sokong mengutamakan produk Islam dalam konsep besar memakmurkan ekonomi bukan perkauman. Mendahulukan should be ok. Wajib kita mendahulukan sokong usahawan muslim,” tambah Rosli. -MalaysiaGazette