Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof (duduk, tengah) diiringi Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Zulkifli Hasan bergambar kenangan dengan pelajar-pelajar pada Perasmian Program 'International Entrepreneurial Engagement to Tokya' di UIAM, Gombak. foto FAREEZ FADZIL, 12 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 22 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpeluang untuk mendalami dunia keusahawanan di Tokyo, Jepun anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan selama sembilan hari, bermula esok.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof melahirkan rasa teruja serta harapan tinggi supaya pelajar-pelajar ini mempelajari sesuatu yang boleh membawa manfaat besar kepada diri dan negara majlis perasmian ‘International Entreprenuerial Engagement: Malaysia Looking East 2019’.

Program yang melibatkan pelajar jurusan ekonomi UIAM, Economic and Management Sciences Society (EMSS) itu juga merupakan usaha sama pihak universiti, International Youth Centre dan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Selama hampir 12 bulan ini, Malaysia telah melalui satu fasa pembagunan ekonomi melalui usaha kerajaan menjalinkan kerjasama dengan rakan serantau termasuk Jepun.

“Kita juga ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi menjelangnya 2020 kelak malah menerusi Dasar Pandang Ke Timur (LEP) 2.0 sekaligus merintis kepada pelbagai peluang antara kita dan Jepun.

“Untuk para pelajar kita ke Jepun bagi mempelajari ekonomi dan keushawanan di negara Matahari Terbit ini adalah sesuatu yang cukup dan perlu di manfaatkan dengan sehabis baik.

“Saya minta anda semua untuk melihat sendiri, membuka minda anda bagi melakukan penerokaan khasnya bidang keusahawanan dengan mengambil contoh Jepun dan pulang membawa pulang lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan.

“Jangan hanya berhenti setakat mempelajari sesuatu di sana sahaja sebaliknya juga hasilkan idea-idea kreaftif pada masa hadapan supaya negara lain juga boleh belajar dan mengambil contoh dari kita.

“Juga jangan hanya sekadar berhenti dengan Pandang ke Timur sahaja sebaliknya Pandang ke Barat juga pada masa hadapan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berinteraksi dengan para pelajar UIAM itu yang akan berangkat esok sehingga 22 September depan.

Matlamat utama program ini adalah untuk mendedahkan peserta kepada dunia perniagaan yang sebenar sambil mengembangkan rangkaian kenalan ke tahap antarabangsa, memberi peluang kepada peserta membincangkan isu-isu berkaitan ekonomi.

Selain daripada itu, antara lain yang telah diatur untuk pelajar-pelajar ini termasuk sesi perkongsian bersama Islamic Centre Japan, lawatan ke bandar Tokyo, sesi perbincangan dengan pelajar Uuniversiti Yokohama serta sesi libat urus dengan ahli perniagaan terkenal Jepun.

LEP mula diperkenalkan pada 1982 yang memberi manfaat kepada negara selain masih kekal relevan dan berkembang selama bertahun-tahun lamanya.

Diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, LEP bermatlamat mencontohi kejayaan Jepun dalam mengubah negaranya menjadi antara pemacu perindustrian berteknologi tinggi dalam pelbagai sektor, terutamanya pembuatan.

Susulan kejayaan LEP, skop dasar itu dipelbagaikan dan diperluaskan lagi menerusi beberapa pendekatan baharu untuk mewujudkan gelombang LEP 2.0.

Jepun adalah rakan kongsi utama Malaysia dan rakan dagang keempat terbesar Malaysia. Bagi Jepun pula Malaysia adalah rakan perdagangan ke-11 terbesar dan keempat dalam kalangan negara ASEAN selepas Thailand, Vietnam dan Indonesia. –MalaysiaGazette