Kejayaan besar itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional atau National Load & Despatch Centre (NLDC) TNB di Ibupejabat TNB, Bangsar.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan eksport sulung bekalan tenaga boleh baharu (TBB) ke Singapura hari ini.

Tepat pukul 11.30 pagi tadi – satu detik bersejarah yang mengukuhkan dedikasi teguh syarikat elektrik nasional itu untuk mempercepatkan transformasi tenaga ASEAN.

Kejayaan besar itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional atau National Load & Despatch Centre (NLDC) TNB di Ibupejabat TNB, Bangsar.

TNB dalam satu kenyataan berkata, elektrik merentasi sempadan dua negara ini dicapai dalam tempoh empat hari selepas TNB dan syarikat pengimport bekalan elektrik berlesen Singapura, Sembcorp Power Pte Ltd menandatangani Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) pada 9 Disember 2024.

Di bawah perjanjian tersebut, Singapura bersetuju mengimport 50 megawatt (MW) tenaga hijau yang disertakan Sijil TBB (RECs).

Tenaga hijau berjumlah 50MW itu adalah hasil daripada proses bidaan yang dilaksanakan oleh Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun lalu.

Urusniaga itu merupakan sebahagian daripada Skim Jualan Elektrik Rentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE) yang sejajar dengan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) dan matlamat peralihan tenaga Malaysia.

Akmal Nasrullah berkata, eksport bekalan TBB degan RECs ke Singapura adalah sebahagian dari inisiatif PETRA di bawah Skim CBES RE.

“Ia berjaya dilaksanakan dengan sokongan dan usaha sama antara Suruhanjaya Tenaga, Grid System Operator, Single Buyer yang mengendalikan ENEGEM, dan Sembcorp.

“Eksport bekalan tenaga hijau ke Singapura ini memperteguhkan lagi usaha-usaha sedia ada negara anggota ASEAN untuk menjayakan APG, yang menyasarkan sistem bekalan tenaga yang mampan dan saling berhubung untuk rantau ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Selaku pemacu APG, Malaysia mahu menyegerakan penggunaan tenaga hijau di rantau ini dan sedang aktif berlibat urus dengan rakan-rakan ASEAN lain untuk mendorong pelaksanaan APG, yang akan memperkukuh saling hubung dan keterjaminan bekalan tenaga antara ASEAN.

“PETRA yakin bekalan tenaga hijau merentasi sempadan ini akan menyokong aspirasi peralihan tenaga negara dan menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam menerajui inisiatif integrasi bekalan elektrik rantau ini menerusi APG yang merupakan sebahagian dari agenda utama negara selaku pengerusi ASEAN – Malaysia in 2025,” tambahnya.

Sebelum itu, Akmal Nasrullah diberikan taklimat mengenai bekalan TBB merentasi sempadan oleh Ketua Grid System Operator (GSO) TNB, Ir. Shanmugam Thoppalan.

Sementara itu, President/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, 50MW tenaga yang dieskport akan memperkuatkan lagi usaha Malaysia ke arah penyahkarbonan dengan menggalakkan pelaburan baru dalam TBB berskala besar oleh TNB dan pemain industri elektrik yang lain.

“Kapasiti saling hubung untuk bekalan elektrik antara Malaysia dan Singapura yang sedia ada adalah pada 1,000MW.

“Dari jumlah ini, 300MW diperuntukkan untuk Skim CBES RE dan 200MW untuk Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapore Power (LTMS-PIP) Fasa 2. Hanya 50MW yang dieksport di bawah CBES RE buat masa ini,” katanya.

Sambil menegaskan TNB sedang menerajui APG, beliau berkata, bekalan sulung 50MW itu mencerminkan kesungguhan syarikat utiliti itu untuk mempercepatkan matlamat tenaga lestari ASEAN dan memperkukuhkan integrasi tenaga di rantau ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast