Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – FIT Malaysia edisi negeri Melaka yang sepatutnya berlangsung Sabtu esok dibatalkan berikutan cuaca jerebu yang tidak mengizinkan.

Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan hari ini berkata program itu sepatutnya dijadualkan berlangsung esok di Dataran Pahlawan Melaka Megamall Bandar Hilir Melaka.

Pihaknya mengambil keputusan membatalkan program itu berdasarkan nasihat dan pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Alam Sekitar Melaka.

“Aktiviti fizikal di kawasan terbuka adalah tidak digalakkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi 100.

“Berdasarkan laporan IPU yang dicatatkan di Bandaraya Melaka petang ini, adalah sekitar 120.

“Dan ia dijangkakan berada pada paras tidak sihat untuk aktiviti luar esok,” kata KBS dalam kenyataan itu.

Program FITMalaysia disertai dan sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur terutama kanak-kanak.

“Oleh itu pihak KBS terpaksa membatalkan program ini untuk mengelakkan risiko orang ramai berdepan masalah kesihatan.

“Sebarang pengumuman berkenaan pelaksanaan program FitMalaysia Edisi Melaka pada masa yang akan dayang akan dimaklumkan kemudian,” sebut kenyataan itu lagi.

KBS merakamkan terima kasih kepada lebih 12 peserta yang telah berdaftar untuk menyertai program Fit Malaysia edisi Melaka dan memohon maaf atas segala kesulitannya.- MalaysiaGazette